Khamis, 17 Mac 2011

Interlok: Kementerian Pelajaran kena cari jalan penyelesaian terbaik, kata MIC

KUALA LUMPUR, — MIC menggesa Kementerian Pelajaran agar mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung novel kontroversi Interlok yang dilihat boleh menyebabkan perpecahan kaum berlaku.

Presiden MIC Datuk G. Palanivel berkata kontroversi novel Interlok akan menjadi satu perkara yang serius dan boleh memecahkan perpaduan antara kaum sekiranya Kementerian Pelajaran tidak mempunyai satu pendirian tetap dalam perkara itu.

“Melainkan Kementerian Pelajaran mengambil satu pendirian tetap dalam isu Interlok kerana setiap perkara dalam perkara ini sangat emosional dan boleh memecahbelahkan.

“Pada masa yang sama kita bekerja (keras) untuk perpaduan dan bergerak bagi menjayakan konsep 1 Malaysia, jadi ia satu perkara yang mustahak agar isu Interlok ini dapat ditangani dengan baik secara keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata tiga wakil kaum India dalam panel bebas yang mengkaji pindaan novel kontroversi Interlok menarik diri selepas satu pertemuan semalam kerana setiap pindaan yang dicadangkan mendapat bantahan wakil Dewan Bahasa dan Pustaka.

Palanivel berkata bantahan itu hanya oleh wakil dari Dewan Bahasa dan Pustaka manakala ahli panel lain bersetuju dengan cadangan untuk meminda perkataan sensitif yang berkaitan dengan kasta.

“Ahli panel lain bersetuju dengan pindaan terhadap perkataan sensitif yang berkaitan dengan kasta.

“Yang mana wakil kaum India telah mencadangkan banyak pindaan yang dianggap sensitif dan menyinggung kaum India,” katanya.

Ketiga-tiga wakil kaum India itu adalah penulis Uthaya Sankar, Pengarah Pusat Pendidikan Global Aminuddin Baki Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Dr N.S Rajendran dan bekas pegawai Kementerian Pelajaran, G Krishnabahawan.

Ketiga-tiga mereka memutuskan demikian — keputusan yang mengejutkan ramai dan disifatkan sebagai tamparan dalam menyelesaikan isu itu — selepas pertemuan khas tergempar yang diadakan di bangunan Parlimen petang ini, yang sebahagiannya dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri, meminta agar berkompromi dan mengurangkan jumlah pindaan kepada perkataan “paria” sahaja.

Panel bebas yang mengadakan mesyuarat akhir 4 Mac lalu sebulat suara bersetuju agar 100 pindaan dibuat.

Beliau berkata telah berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Muhyiddin sejak “krisis” panel bebas itu berlaku semalam.

“Pagi ini Timbalan Perdana Menteri memaklumkan ahli panel bebas ini akan dipanggil untuk perbincangan di pejabat Perdana Menteri,” katanya.

Panel itu dipengerusikan oleh Prof Datuk Shamsul Amri Baharuddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang sekarang berada di luar negara.

Ahli lain panel itu ialah Datin Siti Saroja Basri, isteri kepada Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain penulis novel berkenaan, Prof Madya Dr Lim Swee Tin dari Jabatan Bahasa Melayu Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Datuk Termuzi Abdul Aziz dan Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya Prof Datuk Zainal Abidin Borhan.

Kelmarin, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata pindaan dalam novel Interlok menunjukkan kemajuan menggalakkan walaupun beliau belum menerima butiran terperinci daripada panel bebas yang diketuai oleh Shamsul Amri.

Beliau berkata, selepas menerima butiran terperinci terhadap bentuk pindaan yang dibuat dalam beberapa hari lagi, perkara itu akan dimaklumkan kepada pemimpin masyarakat India bagi memastikan semua pihak berpuas hati dan menerimanya sebulat suara.

Pada 27 Januari lepas, Muhyiddin berkata novel Interlok, yang mencetuskan kontroversi kerana mengandungi beberapa perkataan yang tidak disenangai masyarakat India, akan terus digunakan sebagai teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk murid Tingkatan Lima di Zon 2 iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, kerajaan telah bersetuju untuk membuat pindaan pada bahagian yang dianggap sensitif oleh masyarakat India dalam novel itu.

Tiada ulasan: