Rabu, 9 Mac 2011

Interlok: DAP kemuka usul tergempar di Parlimen minggu depan


KUALA LUMPUR– DAP akan memfailkan usul tergempar minggu depan bagi meminta Parlimen membincangkan isu kontroversial novel Interlok sambila menggesa agar kerajaan menarik balik teks itu daripada digunakan sebagai sukatan di sekolah.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago memberitahu partinya juga berhasrat untuk bertemu dengan Menteri pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu tersebut.

“Kami mahu merayu kepada beliau sekali lagi agar menarik balik novel itu daripada sistem sekolah,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

“Buku ini diperkenalkan untuk mewujudkan harmoni dan perpaduan nasional, tetapi sekarang ia pasti akan menyebabkan perpecahan di kalangan pelajar dan guru, dan juga akan mewujudkan persekitaran permusuhan antara guru-guru Melayu dan pelajar India,” katanya lagi.

Kata beliau, pemimpin-pemimpin DAP telah mengadakan satu pertemuan semalam dan bersetuju untuk mengemukakan usul tergempar di Parlimen Isnin ini bagi menggesa kerajaan agar menarik balik novel Interlok.

“Kami mahu isu ini dibincang dan dibahaskan di kalangan ahli Parlimen,” katanya lagi.

Charles juga berkata DAP akan mengadakan program jelajah negara, yang akan dimulakan di Sungai Petani, dalam dua minggu ini untuk menjelaskan sebab novel itu akan menjadi penghalang kepada usaha menyemai perpaduan negara.

Akhir Januari lalu, Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata novel Interlok kekal digunakan sebagai teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan Lima dengan pindaan dibuat kepada bahagian yang dianggap sensitif oleh masyarakat India.

Katanya, satu panel bebas akan diwujudkan untuk mengkaji bentuk pindaan dan mengemukakan perakuan kepada kerajaan.

“Keputusan mengekalkan novel ini dengan membuat pindaan supaya tidak menyinggung perasaan kaum India adalah jalan penyelesaian terbaik,” katanya.

Novel karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain itu menimbulkan kontroversi berikutan keputusan Kementerian Pelajaran memilih novel itu sebagai teks sastera Tingkatan Lima tahun ini kerana didakwa terdapat perkataan yang menyinggung perasaan masyarakat India di negara ini.

Muhyiddin juga menegaskan bahawa novel Interlok hanya akan digunakan setelah pindaan disiapkan dan diedarkan ke sekolah-sekolah.

Sementara pindaan itu disiapkan, beliau berkata Kementerian Pelajaran akan mengarahkan guru-guru untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia dengan menggunakan silibus yang sedia ada untuk tidak menjejaskan pembelajaran murid.

Panel bebas mengkaji pindaan novel, Interlok, menjangkakan untuk mengemukakan perakuan kepada kerajaan mengenai bentuk pindaan terhadap novel itu dalam tempoh sebulan dari sekarang.

Pada sidang media hari ini, Charles juga membangkitkan insiden di Kuala Kubu Baru di mana seorang didakwa menghina tujuh pelajar apabila mereka mahu memulangkan novel tersebut.

Guru berkenaan didakwa berkata “Kenapa orang India garang? India memang suka rosakkan nama sekolah. Keling memang dasar pariah sejak sejarah lagi.”

“Ini bukan kali pertama insiden macam ini berlaku. Insiden-insiden seperti ini juga terjadi tahun ini, di Taman Tasik Ampang, apabila pengetua wanita menggunakan perkataan ‘pariah’ ketika perhimpunan pagi,” katanya.

Kata beliau, apabila ditanya dari mana beliau mendapat perkataan itu, pengetua itu mengatakan bahawa dari novel itu.

“Proses pembelajaran kini menjadi lebih bersifat memecahbelahkan, bukannya menyatupadukan,” kata beliau lagi.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata beliau terkejut apabila mengetuai pelajar-pelajar terbabit dibawa ke balai polis tanpa pengetahuan ibu bapa mereka.

“Mengapa sekolah membawa pelajar ke balai polis tanpa memaklumkan ibu bapa mereka? Ini untuk menyemai budaya takut,” katanya.

Tiada ulasan: