Sabtu, 5 Mac 2011

Hak adat pribumi: Rayuan 6 petani diterima

BERNAMA

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret Tenom terhadap enam petani kerana memceroboh dan bercucuk tanam di kawasan Hutan Simpan Kuala Tomani, Tenom.

Dalam penghakiman bersejarah itu, semalam, Hakim Datuk David Wong Dak Wah, yang mendengar pemohonan rayuan itu, berkata majistret itu sepatutnya membebas dan melepaskan semua enam petani dari Kampung Emahit itu.

Enam petani itu -- Andawan Ansapi, 47, Barani Ambisi, 41, Ansaman @ Azman Yapau, 52, Johndy Kawar, 25, Stanley Boyor, 33, dan Sarim Arus, 53 mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukuman tersebut.

Wong berkata majistret itu tidak menangani sama ada perayu boleh mempunyai hak dan kuasa untuk berada di tanah tersebut memandangkan hak tanah adat mereka.

Majistret, yang memutuskan bahawa seorang pribumi tidak mempunyai hak pribumi kepada tanah yang digazetkan sebagai hutan simpan, juga gagal menentukan sama ada perayu pada hakikatnya memiliki hak pribumi ke atas tanah itu, katanya.

Keenam-enam perayu itu, yang diwakili oleh peguam Ram Singh, memfailkan rayuan berikutan sabitan di Mahkamah Majistret Tenom pada November 2010.

Mereka didenda RM500 atau penjara 90 hari setiap seorang di bawah Seksyen 20(1) (C) (1) Enakmen Hutan 1968 atas tuduhan menceroboh kawasan Hutan Simpan Kuala Tomani.

Mereka juga turut didenda RM500 atau penjara 90 hari setiap seorang atas tuduhan kedua di bawah Seksyen 20 (1)(b)(iii) enakmen sama kerana menaman tanaman secara haram di hutan berkenaan.

"Saya benar-benar memahami cara di mana majistret membuat kesimpulan kerana seksyen di mana perayu didakwa khususnya menyentuh 'kuasa segera diberikan dan di bawah peruntukan Enakmen Hutan'.

"Bagaimanapun, dengan hormat kepada pendakwa dan majistret, notis perlu dikeluarkan terhadap tuntutan hak adat pribumi oleh perayu ketika ia ditolak," tegasnya.

Hakim Wong berkata status perundangan hak adat pribumi di Malaysia adalah amat jelas dan telah diterima.

Beliau memetik kes, Nor Anak Nyawai & Ors melawan Borneo Pulp Plantation s/b
& Ors [2001] di mana hakim memutuskan undang-undang pribumi adalah amalan tabiat penduduk dan bukan satu perintah undang-undang bertulis dan perundangan sama ada dimansuhkan atau memadamkan hak adat pribumi.

Merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Penguasa Jabatan Tanah dan Survei, Bahagian Miri dan Kerajaan Sarawak melawan Madeli Salleh, beliau besetuju bahawa seseorang perlu meneliti subjek Seksyen 20(1)(b)(iii) dan 20(1)(c)(i) Enakmen Hutan 1968 kepada hak perayu bagi menuntut hak adat pribumi.

"Gambaran yang mudah bahawa ayat 'pihak berkuasa' dalam seksyen Enakmen Hutan 1968 tidak boleh dihadkan kepada pihak berkuasa di bawah peruntukan Enakmen Hutan.

"Pendek kata, sekiranya perayu memiliki hak adat pribumi kepada tanah itu, mereka mempunyai kuasa untuk tinggal di tanah itu bagi mengusahakannya dan membuat aktiviti lain di mana adat mereka membenarkan mereka berbuat demikian," kata Wong.

Dalam menolak keputusan majistret, katanya, keenam-enam perayu itu tidak mempertikaikan kehadiran mereka di hutan simpan tersebut.

"Apa yang amat dpertikaikan oleh perayu ialah tuduhan pendakwaan bahawa mereka tidak mempunyai sebarang kuasa untuk berada di tanah itu.

"Malangnya oleh kerana pemahaman undang-undang oleh pendakwaan, adalah jelas daripada keterangan bahawa pendakwa tidak cuba membuktikan pihak perayu tidak memunyai kuasa untuk berada di tanah itu berdasarkan tuntutan hak adat pribumi," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Zairi Zainal Abidin, bertindak untuk Jabatan Perhutanan Negeri Sabah, selaku responden.


Tiada ulasan: