Khamis, 3 Mac 2011

Hadi: Umno letak Islam bawah politik rendahkan martabat agama

JASIN — Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan Umno merendahkan martabat agama Islam apabila lebih mengutamakan kepentingan politik berbanding agama dalam sistem pentadbiran negara.

Tegas Presiden PAS itu, Islam yang merupakan agama rasmi negara sepatutnya diberikan keutamaan bukan sekadar digunakan apabila perlu.

“Islam merupakan agama rasmi tapi ia tidak dijadikan kuasa, kuasa Islam (di Malaysia) hanya sekadar tengok anak bulan, bila ada orang mati bagi duit, ajar orang mengaji di masjid... inilah kerja pejabat agama.

“Islam tidak diberikan kuasa, sepatutnya politik di bawah Islam bukan Islam di bawah politik . . . Islam menyatukan politik supaya pemimpin-pemimpin ada perhitungan antara dosa dan pahala,” katanya ketika menyampaikan ceramah di Kampung Chinchin sempena pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau di sini malam tadi.

Ini merupakan ceramah pertama Hadi semenjak kempen pilihan raya kecil kawasan Merlimau berlangsung.

Kata Hadi, Islam tidak mengasingkan antara politik dengan agama seperti mana yang dilakukan Umno.

“Kita tak diajar untuk asingkan politik dan Islam, apa yang diajar Umno adalah politik tiada dalam Islam . . . politik tiada dalam Islam.

“Pada hal kita diajar (dalam Islam) kalau nak berjalan kena langkah dengan kaki kanan, nak makan dengan tangan kanan, baca doa, siapa yang ajar semua ini? Agama yang ajar bukan Umno,” katanya.

Ahli Parlimen Marang itu menegaskan sikap Umno yang tidak mementingkan Islam dalam sistem pentadbiran negara telah melemahkan kedudukan Islam sebagai agama rasmi.

“Ini yang melemahkan kedudukan Islam, politik Umno boleh rasuah, tipu rakyat, berlakon, buat maksiat bila hujung bulan ada duit buat umrah.

“Ini yang kita nak ajar supaya orang faham politik Islam, inilah beza PAS dengan Umno,” kata Hadi.

Pilihan raya kecil DUN Merlimau menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara Roslan, ahli jawatankuasa Umno Jasin dan Yuhaizat Abdullah iaitu Timbalan Ketua Pemuda PAS Melaka dan Timbalan Yang Dipertua PAS Jasin.

Menurut Hadi, Umno tidak layak untuk menunjukkan model Islam terutamanya kepada orang bukan Islam kerana parti Melayu terbesar itu telah banyak melakukan penyelewengan termasuk rasuah.

“Umno amalkan rasuah, politik wang... inilah politik suku agama suku, ini PAS tidak boleh.

“Jadi Umno tak boleh tunjukkan model Islam kepada orang bukan Islam,” katanya.

Tiada ulasan: