Selasa, 15 Mac 2011

Gempa Jepun: 43 staf UTHM termasuk empat gagal dikesan selamat

KUALA LUMPUR— Kesemua 43 kakitangan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia yang menuntut di Jepun termasuk empat yang dilaporkan gagal dikesan kini disahkan berada dalam keadaan selamat.

Menurut Pegawai Perhubungan Awam UTHM Shafry Salim, pihaknya telah berjaya menghubungi kesemua 43 kakitangan yang menuntut di Jepun yang dilanda gempa bumi dan tsunami paling buruk Jumaat lalu.

“Pihak UTHM telah berkomunikasi dengan kesemua kakitangan yang berada di sana dan mereka telah mengesahkan keadaan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata daripada jumlah itu hanya dua kakitangan iaitu Nabilah Ibrahim yang menuntut di Universiti Tohoku dan Mohammad Kamil Abdullah (Universiti Iwate) yang berada di kawasan itu.

“Daripada jumlah tersebut (43 orang) hanya dua orang kakitangan UTHM yang berada di wilayah yang yang dilanda bencana iaitu Nabilah dan Mohammad Kamil.

“Kedua-dua mereka telah pun dihubungi dan memaklumkan situasi mereka yang berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Tambah Shafry, pihaknya akan terus memantau perkembangan yang berlaku di Jepun demi memastikan keselamatan kakitangan berada di tahap terbaik.

“UTHM sedang merancang untuk menyalurkan bantuan yang sewajarnya kepada kedua-dua mereka demi memastikan pengajian mereka tidak terjejas.

“UTHM akan terus memantau secara rapat perkembangan di Jepun demi memastikan keselamatan dan kebajikan staf yang berada di sana di tahap yang terbaik,” katanya.

Semalam The Malaysian Insider melaporkan UTHM gagal mengesan empat kakitangannya yang belajar di Jepun.

Kesemua kakitangan itu ditaja oleh pihak universiti dan ada yang ditaja Kementerian Pengajian Tinggi untuk melanjutkan pelajaran di peringkat PhD.

Pada Jumaat lalu, Jepun dilanda gempa bumi dan tsunami - memusnahkan kawasan timur laut negara itu.

Kawasan Fukushima, antara bahagian paling turuk dilanda gempa bumi dan tsunami.

Tiada ulasan: