Isnin, 7 Mac 2011

Fitnah: Titah Agong sangat relevan

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin mengenai budaya fitnah sebagai sangat relevan dengan situasi politik negara ketika ini.

Mahfuz yang merupakan ahli Parlimen Pokok Sena berkata, budaya fitnah memfinah yang berlaku dalam politik hari ini menyebabkan Malaysia lari daripada landasan demokrasi yang sebenar.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas titah Tuanku Mizan sempena mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen ke-12, hari ini.

"Peringatan Tuanku Mizan sangat relevan khususnya budaya fitnah yang sedang menguasai persekitaran politik negara ketika ini.

"Peringatan ini sangat relevan kerana fitnah akan menyebabkan negara kita terbabas dari landasan yang betul. Kita sudah pun terbabas daripada landasan demokrasi yang sebenar kerana landasan demokrasi yang sebenar ialah kekuatan politik itu mesti berasaskan kepada intelektual, bukan berdasarkan budaya ganas dan fitnah," kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Menurutnya, pemimpin-pemimpin semua parti harus memberi perhatian terhadap seruan Tuanku Mizan agar semua pihak menjauhi fitnah untuk mencapai taraf negara maju.

Beliau turut merujuk kepada fitnah terbaru yang dilakukan Umno BN terhadap Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada pilihan raya kecil Dun Kerdau.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang difitnah membeli tanah peneroka Felda menggunakan nama isterinya.

"Peringatan mengenai ftnah ini sangat wajar untuk diberi perhatian kerana yang terbaru berlaku di Merlimau dan Kerdau apabila pemimpin-pemimpin seperti Datuk Tuan Ibrahim difitnah dan sebagainya.

"Ini satu perkara yang tidak sewajarnya berlaku dalam negara ini. Dalam usaha kita nak mencapai negara maju kita tak boleh maju berasaskan fitnah dan rasuah," katanya.

Tuanku Mizan semasa bertitah merasmikan persidang Dewan Rakyat menyeru semua pihak agar menjauhi perbuatan fitnah yang boleh menggugat perpaduan dan keharmonian negara.

"Beta menyeru semua pihak agar sentiasa mengekalkan keharmonian serta maruah negara.

"Jadilah warga yang bijak, bertanggungawab dan tidak mudah terpengaruh dengan fitnah dan tohmahan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Sayugia diingatkan bahawa perbuatan fitnah memfitnah boleh menjejaskan perpaduan rakyat adalah perbuatan yang amat tercela dan dilarang oleh semua agama.

"Ambillah iktibar daripada keruntuhan beberapa empayar terdahulu akibat perpecahan angkara fitnah," titah Tuanku Mizan.

Tiada ulasan: