BERNAMA
Empat penuntut Maktab Perguruan Sultan Mizan, Besut, terbunuh apabila kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta lain di Km 12 Lebuh Raya Timur Barat dekat Gerik semalam.
Mereka terdiri Joseph Phuah, 19, dari Sungai Bakap, Pulau Pinang, Yap Sin Wei, 20, berasal dari Seberang Perai, Pulau Pinang, Goh Shu Win, 19, dari Butterworth, Pulau Pinang dan M Iniyan, 19 dari Taiping.
Ketua Polis Trafik Perak, Supt Wan Abdullah Ishak berkata bahawa dalam nahas yang berlaku pada 4.30 petang itu, Yap dan Iniyan mati di tempat kejadian manakala Phuah meninggal dunia di Hospital Gerik pada 8 malam tadi dan Goh meninggal dunia di Hospital Taiping pada 5 pagi tadi.
"Keempat-empat mangsa dalam perjalanan ke Pulau Pinang," katanya ketika di hubungi Bernama hari ini.
Wan Abdullah berkata bahawa semasa kejadian kereta jenis Proton Iswara yang dipandu oleh Phuah dipercayai gagal dikawal ketika melalui selekoh dan menuruni bukit lalu terbabas ke kanan jalan dan dirempuh sebuah kereta jenis Toyota Camry dari arah bertentangan.
Anggota Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan keempat-empat mangsa yang tersepit dalam kereta itu, katanya.
Pemandu kereta Toyota Camry cedera ringan dan dirawat di hospital Gerik, kata Wan Abdullah.
Bapa Goh, Goh Kong Huaw, 48, ketika ditemui di Hospital Taiping, berkata kejadian itu diketahui apabila beliau dihubungi melalui telefon oleh rakan anaknya yang menaiki sebuah kereta lain mengikuti mereka dari belakang.
Goh, yang bekerja di Johor Baharu, kemudian bergegas ke Taiping untuk menuntut mayat anaknya.
Sebelum itu, anaknya telah menghubunginya semalam mengatakan hendak pulang kerana bercuti, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan