Ahad, 20 Mac 2011

Dr Wahbi tidak pertahan kerusi Saribas

Beliau ingin memberi laluan kepada muka-muka baru yang lebih muda dan bertenaga.

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Saribas, Dr Wahbi Junaidi semalam secara terbuka mengumumkan hasrat beliau untuk tidak bertanding sekali gus tidak mempertahankan kerusi yang disandangnya selama empat penggal sejak 1991.

Menurutnya, pengumuman rasmi yang dibuatnya itu dilakukan untuk memberi laluan kepada muka-muka baru yang lebih muda dan bertenaga dalam memastikan kesinambungan pembangunan untuk rakyat di Saribas.

Bagaimanapun, Dr Wahbi menolak kemungkinan wujudnya desakan luar yang menjadi faktor kepadanya untuk mengundurkan diri setelah 20 tahun berkecimpung dalam arena politik.

Tegasnya, beliau kini masih kekal memegang jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) serta Ketua

Cawangan PBB Saribas, selain terus aktif menyokong calon baru bagi meneruskan usaha agenda pembangunan yang telah dirancang kerajaan di kawasan tersebut.

“Hari ini, saya secara terbuka melahirkan hasrat untuk tidak bertanding pada pilihan raya negeri akan datang sekali gus tidak mempertahankan kerusi yang telah saya sandang selama empat penggal ini.

“Pada masa sama, saya tidak mahu mengambil risiko untuk mempertahankan kerusi yang telah saya sandang selama ini kerana sokongan rakyat akar umbi (di Saribas) kepada saya tidaklah begitu memberangsangkan berdasarkan laporan yang saya terima,” katanya dalam sidang media di sini.

Menurut beliau, sokongan rakyat Saribas terhadap kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) masih kuat dan tidak berbelah bahagi.

Dr Wahbi mula bertanding di kerusi Dun Saribas pada tahun 1991 dengan menang tanpa bertanding dan mengekalkannya pada 1996, 2001 dan 2006.

Dalam pada itu katanya, beliau memaklumkan mengenal pasti tiga calon yang berupaya ditampilkan dan akan menyerahkan kepada

pucuk kepimpinan tertinggi BN untuk memutuskan siapa yang bakal
membawa panji BN di Saribas kelak.

“Setakat ini, saya belum dapat mengumumkan nama muka baru ini. Apa yang pasti mereka adalah daripada golongan profesional.

“Mereka akan dinilai oleh parti terlebih dahulu bagi mengesahkannya sebagai calon yang boleh menang atau tidak seperti mana yang ditekankan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang mahu calon boleh menang diketengahkan,” katanya.

Pada sidang media sama, Dr Wahbi juga mengambil kesempatan untuk melahirkan jutaan penghargaan kepada Ketua Menteri merangkap

Pengerusi BN Negeri kerana memberi peluang kepada beliau menabur bakti sebagai wakil rakyat selama empat penggal di Dun Saribas.

Tiada ulasan: