Khamis, 10 Mac 2011

Dr Pornthip mohon pengawal peribadi

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Pakar Patologi Thailand Dr Pornthip Rojanasunand, yang bakal memberi keterangan kepada suruhanjaya yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock, akan diawasi oleh pengawal peribadi sepanjang berada di negara ini.

Setiausaha suruhanjaya itu Datuk Saripuddin Kasim hari ini berkata ia dilakukan hasil permohonan Pornthip sendiri.

Katanya Pornthip juga memohon supaya tarikh beliau memberi keterangan dipinda iaitu dari 16-17 Mac ke 18 hingga 20 April.

“Berhubung permohonan menjadualkan semula tarikh memberi keterangan, suruhanjaya telah meminta Dr Pornthip menimbang semula tarikh lebih awal iaitu sebelum minggu pertama bulan April 2011, malah suruhanjaya bersedia menjalankan prosiding pada hari minggu.

“Ini berikutan suruhanjaya perlu menyelesaikan tugasan sebelum atau pada 25 April 2011,” kata Saripuddin dalam satu kenyataan.

Pornthip mengemukakan kedua-dua permohonan itu hari ini menerusi syarikat peguam Tetuan Malik Imtiaz.

Pada inkues di Mahkamah Koroner Shah Alam sebelum ini, Pornthip dipanggil memberi keterangan sebanyak dua kali.

Teoh, 30, setiausaha politik anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, selepas memberi kenyataan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Suruhanjaya dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T. Selventhiranathan, Pakar Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik serta Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 26 Jan lepas, antara lain bagi menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat ''keputusan terbuka'' berhubung kes itu.

Dalam prosiding hari ini, Foong memutuskan supaya penyiasat persendirian, Michael Leslie Squires, mendapatkan diari siasatan daripada pegawai SPRM berhubung siasatan terhadap Teoh.

Foong berkata tiga pakar psikiatri iaitu perunding forensik psikiatri Hospital Permai Johor Dr Bada''iah Yahya, pakar perunding psikiatri Kementerian Kesihatan Dr Nor Hayati Ali dan Pengarah Hospital Permai Johor Dr Benjamin Chan, akan menemui keluarga Teoh pada 21 dan 22 Mac ini sekiranya keluarga itu setuju untuk ditemubual.

Prosiding disambung pada Isnin.

Tiada ulasan: