Ahad, 20 Mac 2011

Di mana SPR?

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menikus berdiam diri ketika Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat sibuk berkempen sebelum sidang dewan dibubarkan.



Umum mengetahui sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak akan dibubarkan esok. Tambahan pula pilihan raya negeri Sarawak mesti diadakan dalam bulan April.

Apa yang meghairankan penulis ialah Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah pun memulakan kempen pilihan raya Sarawak.

Perkara ini telah pun disiarkan dalam media cetak dan elektronik arus perdana.

Walau bagaimanapun, SPR membisu seribu bahasa.

Para pemimpin Pakatan Rakyat juga turut berkempen sebagaimana yang tercatat di laman blog mikro – Twitter mereka.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim umpamanya membuat catatan ini di akaun Twitter beliau semalam.

“Kini di Sarawak. Anak-anak masyarakat Penan di Sarawak masih menghadapi masalah pengangkutan ke sekolah.”

Pada masa sama pentadbiran Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud boleh menghalang pemimpin pakatan pembangkang dari mendarat di Sarawak.

Ini merupakan autonomi Sarawak yang disalahgunakan oleh Taib. Sejarah menjadi saksi bagaimana segelintir pemimpin PKR dihalang dari menjejakkan kaki di Bumi Kenyalang.

Jika perkara ini ditimbulkan kepada SPR, mereka akan beri alasan SPR hanya bertanggungjawab menjalankan pilihanraya bebas secara adil.

Mungkin mereka lupa bahawa mereka juga dipertanggungjawabkan dengan tugas menentukan jumlah hari berkempen.

Kempen sepatutnya dimulakan selepas proses penamaan calon tamat dan bukan seperti apa yang berlaku sekarang.

Tiada ulasan: