Rabu, 16 Mac 2011

Dewan Rakyat bahas gempa bumi, tsunami di Jepun

BERNAMA

Persidangan Dewan Rakyat dijangka membahaskan usul tergempar mengenai gempa dan tsunami di Jepun Khamis ini, kata Timbalan Yang Dipertuanya Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata Dewan Rakyat telah menerima pemberitahuan daripada kerajaan yang akan mengemukakan usul berkenaan dan notis mengenainya dijangka diterima esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dijangka membentangkan usul itu mengikut Peraturan 27(3) Parlimen, dan akan dibahaskan oleh anggota dewan, katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kuala Lumpur hari ini.

Wan Junaidi berkata oleh kerana itu beliau menolak permohonan M.Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) pada persidangan pagi tadi yang memohon menangguhkan persidangan dewan bagi membincangkan kejadian gempa dan tsunami di Jepun pada Jumaat lepas.

"Pihak kerajaan kini sedang memuktamadkan usul berkenaan dan akan menyerahkan notis pembentangan usul itu esok. Tetapi saya yakin usul yang akan dibawa itu berhubung dengan rasa simpati kita kepada kerajaan dan rakyat Jepun atas malapetaka yang menimpa mereka," katanya.

"Untuk kemukakan usul perlu notis sehari. Tadi Yang Berhormat Ipoh Barat mengemukakan usul secara serta-merta, jadi saya tidak boleh benarkan, lagipun dewan sudah dimaklumkan bahawa kerajaan akan membawakan usul yang sama pada Khamis ini," katanya.

Wan Junaidi berkata, kebiasaannya intipati perbahasan mengenai usul itu akan disampaikan kepada pemimpin Jepun selain Duta Jepun di Malaysia.

"Saya juga yakin kerajaan akan memaklumkan kepada kedutaan mengenai usul ini agar mereka dapat mendengar perbahasannya kelak daripada anggota Parlimen tanpa mengira parti," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak pasti berapa lama akan diperuntukkan untuk anggota Parlimen membahaskan usul tersebut memandangkan notis mengenainya belum diterima.

Pada Jumaat lepas, Jepun dilanda gempa bumi kuat berukuran 8.9 pada skala Richter, yang telah mencetuskan tsunami setinggi 10 meter yang melanda wilayah timur laut negara itu dan mengorbankan beribu-ribu nyawa.


Tiada ulasan: