Jumaat, 4 Mac 2011

Dedahkan segala penyelewangan dan pengkhianatan Umno

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad memberitahu PAS akan mendedahkan segala penyelewengan dan pengkhianatan Umno terhadap Melayu sejak memerintah negara 54 tahun. Katanya, selama ini PAS bertahan dengan serangan bertubi-tubi jentera Umno kononnya kuasa politik orang Melayu akan terhakis jika orang Melayu menyokong PAS yang bersama-sama DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat.

"Kita akan pastikan jentera kita menyerang Umno dengan mendedahkan segala penyelewengan dan pengkhianatan Umno kepada orang Melayu sejak kemerdekaan negara 54 tahun lalu.

"Kita akan gunakan modal kempen ini bagi mempastikan orang Melayu tidak tertipu lagi dengan pujuk rayu dan janji manis Umno," tegasnya.

Kenyataan beliau itu dikeluarkan selepas Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa: Jaminan PAS yang diadakan di Shah Alam baru-baru ini.

Dalam konvensyen itu, saya juga tertarik dengan cadangan bekas Ahli Parlimen Jeli, Afandi dalam seminar tersebut supaya PAS menyerang Umno habis-habisan perihal pengkhianatan mereka terhadap orang Melayu. Kemukakan bukti-bukti pengkhianatan Umno sepanjang mereka berkuasa.

Di hadapan kita berlangsung dua pilihanraya kecil, Merlimau dan Kerdau. Kedua-keduanya PAS berhadapan dengan Umno. Kerdau lebih istimewa kerana di samping undi Melayunya hampir 90 peratus, calon yang dikemukakan BN pula seorang ulamak lulusan Al-Azhar yang berkopiah.

Di atas kertas, tiada siapa terfikir bahawa PAS boleh menang. Kuasa mutlak Allah SWT untuk memenangkan hak jika Dia mahu tiada siapa boleh pertikai. Tapi manusia biasa lebih selesa untuk bercakap mengikut hukum akal yang lebih kuat untuk mengatakan PAS sukar untuk menang.

Naib Presiden PAS membayangkan bahawa penurunan majoriti BN untuk kedua-dua kawasan DUN tersebut sudah boleh dianggap ‘kemenangan’. Jika demikian halnya, maka kenyataan Ustaz Idris supaya PAS menyerang Umno dengan mendedahkan pengkhianatan Umno dalam kedua-dua PRK itu sangat baik untuk menguji sama ada senjata itu berkesan.

Dalam banyak PRK sebelum ini PAS dan Pakatan Rakyat sangat berhati-hati dalam mengatur gerak ofensif. Macam di Tenang, sampaikan ada tempat petugas diingatkan jangan tonjolkan logo PAS. Cermat sungguh untuk menjaga pengundi supaya ‘tidak terluka’ tapi hasilnya belum seperti yang diharapkan.

Pakar perang saraf dan propaganda yang paling baik di dunia datangnya dari Yahudi. Banyak parti politik, kerajaan dan pemimpin dunia, bahkan para diktator pun menggunakan konsultan Yahudi dalam mencantikkan imej mereka. Kerajaan pimpinan Najib dan Umno menggunakan khidmat APCO juga adalah sebuah syarikat Yahudi.

Joseph Hitler dan Yahudi adalah berseteru, tapi kaedah perang saraf mereka terhadap musuh adalah sama iaitu mecipta persepsi buruk terhadap seseorang atau pihak yang mahu dijatuhkan dengan imej yang disanggahi oleh orang itu. Contohnya mudah, jika pemimpin itu terkenal sebagai seorang anti rasuah, maka dakwa dia atas tuduhan rasuah dengan bukti yang diciptakan. Teori tersebut berkesan apabila dipraktikkan dalam banyak kes. Imej pemimpin itu akan ranap berkali ganda dari jika mereka menggunakan isu biasa.

Lihat saja sejak Najib menjadikan syarikat Yahudi sebagai konsultan, serangan mereka terhadap PAS, DAP dan KeADILan adalah istiqomah menurut jajaran teori tersebut. Bagi PAS yang memperjuangkan Islam maka serangan mereka berupa ‘pembuktian’ bahawa PAS tidak Islamik dalam banyak kes di samping mengetepikan matlamat mewujudkan negara Islam. Bagi KeADILan, tonjolkan ketidakadilan mereka dalam parti, seperti kacau bilau dalam pemilihan dan pelasanaan peraturan yang tidak adil. Manakala bagi DAP yang berlandaskan demokratik dan meritokrasi, maka mereka ‘membuktikan’ DAP parti perkauman, pilih kasih terhadap bangsa dan anti Melayu. Adakah strategi mereka berkesan? Jika tidak berkesan, masakan undi Melayu beralih dengan banyak selepas PRU 12.

Nah, jika Umno adalah parti yang lantang memperjuangkan bangsa Melayu maka serangan terhadap mereka tentunya senarai pengkhianatan mereka terhadap Melayu serta semua elemen yang berkaitan dengannya. Misalnya isu kedaulatan raja-raja Melayu, hak milikan Melayu yang terhakis dan senarai panjang kegagalan Umno sewaktu lebih separuh abad menerajui BN. Serang sampai Umno tersepuk ke dinding dan tercungap-cungap meminta nyawa.

Merlimau dan Kerdau, kedua-duanya di bawah negeri yang ditadbir oleh kerajaan BN. Mereka cuma mahu hantar pembangkang ke DUN. Tiada tanggungjawab pembangkang di Melaka dan Pahang untuk memberi penjelas perihal kejayaan atau justifikasi terhadap ‘kegagalan’ negeri-negeri Pakatan. Jangan layan rentak tari BN jika mereka menyerang negeri-negeri Pakatan tapi mantapkan serangan dengan isu pengkhianatan Umno terhadap Melayu.

Jika serangan isu ‘Umno pengkhianat Melayu’ kurang berkesan, maka ia percubaan tidak merugikan kerana PAS bertanding PRK di kubu Umno. Kalah perkara biasa. Jika berkesan, ia petanda bahawa senjata itu relevan untuk digunakan untuk pertarungan seterusnya, terutamanya dalam PRU.

DAP pernah takut untuk bersama PAS, khuatir hilang sokongan pengundi Cina. PAS pun pernah begitu. Apabila mereka menetapkan pendirian untuk bersama, berani mengambil risiko, akhirnya persepsi negatif masyarakat Cina terhadap PAS runtuh. DAP dan PAS sama-sama dapat manfaat hasil percubaan yang berani itu.

Setiausaha Agung KeADILan dalam ulasannya di Konvensyen Pengupayaan Bangsa baru lalu, membangkitkan dilema Pakatan sama ada mahu menyerang Umno dengan isu ketuanan Melayu atau mengelak menyentuhnya bagi mengurangkan risiko serangan oleh Umno dalam isu yang sama. Ramai yang bersetuju supaya Pakatan berhadapan dengan isu tersebut, membujur lalu melintang patah. Isu ketuanan Melayu adalah satu aspek dari pengkhianatan Umno terhadap Melayu. Rangkumkan saja dan lancarkan serangan bersepadu dalam kedua-dua PRK ini. Lepas itu lihat hasilnya.

Tiada ulasan: