Dengan kepadatan penduduk mencecah dua juta, bandaraya menjadi pusat segala aktiviti termasuk jenayah.
KUALA LUMPUR: Mengekalkan Kuala Lumpur sebagai bandaraya selamat untuk dikunjungi dan didiami merupakan cabaran besar bagi pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dengan kepadatan penduduk mencecah hampir dua juta, bandaraya yang menjadi tumpuan lebih sembilan juta pelancong dan lubuk mencari rezeki penduduk tempatan dan warga asing itu juga adalah pusat segala aktiviti termasuk jenayah.
Menyedari hakikat itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah berkata usaha berterusan memerangi jenayah di bandaraya perlu dilakukan secara lebih menyeluruh dengan membabitkan banyak pihak bagi memastikan kesan maksimum terutama dalam mematahkan sindiket jenayah yang ada.
“Saban hari Polis KL berdepan dengan pelbagai jenis penjenayah tempatan dan antarabangsa yang ligat mencari peluang melakukan jenayah di bandaraya ini sebelum mula bergerak ke negeri lain.
“Kedatangan pelancong asing yang mengambil peluang menjadi penjenayah kecil-kecilan sebelum merebak menjadi penjenayah utama khasnya dalam jenayah dadah cukup membimbangkan sejak kebelakangan ini,” katanya kepada pemberita dalam temu bual sempena Hari Polis ke-204 yang akan disambut pada 25 Mac.
Beliau berkata sepanjang tahun lepas 10 sindiket dadah rakyat asing berjaya ditumpaskan dan sehingga Februari tahun ini, empat sindiket dadah membabitkan rakyat asing ditumpaskan.
KL sebagai transit dadah
“Kami memandang serius perkara ini, terutama pihak asing yang cuba menjadikan Kuala Lumpur sebagai transit dadah,” katanya.
Selain kegiatan jenayah, polis Kuala Lumpur juga terpaksa berhadapandengan ‘kumpulan manusia’ yang sering melakukan demonstrasi kerana isu politik, perkauman, ketidakpuasan hati terhadap sesuatu perkara dan sebagainya.
Beliau berkata masalah itu memerlukan kawalan keselamatan yang tinggi kerana demonstrasi boleh mengundang jenayah jalanan, mengganggu trafik selain menimbulkan rasa takut di kalangan masyarakat tempatan dan antarabangsa.
Bagi mengatasi pelbagai cabaran itu, pihaknya mewujudkan Pelan Strategik 2011 yang memberi fokus untuk menurunkan kadar jenayah dan memastikan bandaraya ini lebih selamat termasuk dengan menempatkan lebih ramai anggota berkawal di kawasan panas seperti unit berkuda, unit rondaan jalan kaki, pondok polis, unit bermotor, kereta dan unit tindakan khas.
Beliau berkata bagi memastikan bandaraya ini selamat, pihaknya juga memerlukan kerjasama pelbagai agensi lain seperti Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Imigresen, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Rela dan sukarelawan polis.
Selain itu, Zulkifli berkata mata dan telinga orang ramai jugab diperlukan bagi memastikan jenayah jalanan seperti ragut dan samun dapat dibanteras.
“Ketika ini terdapat hampir 90,000 anggota Program Rakan Cops di pusat bandaraya ini yang banyak membantu kami dengan menyalurkan maklumat pantas kepada polis jika berlaku sesuatu kes,” katanya.
Beliau berkata pihaknya juga akan menggunakan pendekatan menyalurkan maklumat menggunakan papan tanda gergasi di kawasan tumpuan orang ramai bagi memaparkan sebarang maklumat jenayah.
Perkara itu akan dilaksana bulan ini, kata Zulkifli, yang yakin dengan cara ini, kerjasama masyarakat dengan polis akan lebih erat dan mengurangkan faktor takut dengan kehadiran polis.
“Saya percaya dengan setiap usaha yang disebutkan ini, jenayah dapat dikurangkan di bandaraya ini sekaligus dapat mewujudkan
sebuah bandaraya yang diiktiraf sebagai bandaraya bertaraf dunia yang selamat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan