Khamis, 3 Mac 2011

Bom peninggalan perang dunia kedua diletupkan

BERNAMA

SEPANG – Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini memusnahkan bom peninggalan perang dunia kedua yang ditemui di tapak pembinaan KLIA 2 di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang DSP Baharudin Mustafa berkata bom yang dipercayai berusia 50 tahun dan telah berkarat itu diletupkan pada pukul 3.20 petang di tapak pembinaan itu.

Beliau berkata bom yang tidak dapat dipastikan sama ada aktif atau tidak itu ditemui pekerja pembinaan pada pukul 12.30 tengah hari Isnin lepas ketika melakukan kerja mengorek tanah.

“Bom itu diletupkan di dalam satu lubang mengikut spesifikasi tertentu, di tapak penemuan bom itu yang jaraknya kira-kira 5km dari terminal KLIA,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, di sini hari ini.

Kerja pembinaan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) yang baru atau KLIA 2, sedang giat dijalankan dan dijangka siap pada Oktober 2012.

Mengenai dakwaan landasan kapal terbang di KLIA ditutup berikutan kejadian itu, Baharudin meminta perkara itu dirujuk kepada pihak Malaysia Airport Berhad.

Tiada ulasan: