Ahad, 6 Mac 2011

BN buru besar tinggi di Merlimau, Kerdau menjelang PRU13

TERKINI


KUALA LUMPUR — Barisan Nasional (BN) dijangka dengan mudah akan mengekalkan kedua-dua kerusi DUN Merlimau dan Kerdau pada hari ini — bagi membayangkan ia sudah pulih daripada prestasi terburuk tiga tahun lalu dengan kehilangan empat negeri tambahan dan kedudukan majoriti dua pertiga di Parlimen.

Lusa genap tiga tahun pilihan raya umum ke-12 diadakan.

Kerusi Merlimau di Melaka dan Kerdau di Pahang adalah kubu kuat BN tetapi PAS juga mengharapkan untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 50 peratus undi orang Melayu bagi merampas daripada perikatan itu.

Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Abdul Halim Abdul Rahman mendakwa pihaknya sudah pun ada 41 peratus undi Melayu di Merlimau.

Sementara itu calon yang bertanding di Merlimau berharap pengundi di kawasan itu keluar untuk mengundi hari ini dan membuat pilihan bijak.

Calon BN Roslan Ahmad dan calon PAS Yuhaizat Abdullah berharap 10,679 pengundi di kawasan itu keluar awal untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Walaupun berbeza parti dan dasar pejuangan namun kedua-dua calon itu mempunyai persamaan sama iatu mahu membantu rakyat di kawasan Merlimau.

Roslan yang juga ahli jawatankuasa Umno Jasin berkata, beliau berharap pengundi di Merlimau memberi peluang kepadanya untuk menjadi wakil rakyat.

“Saya harap pengundi dapat memberikan peluang kepada saya agar saya boleh buktikan dan membantu penduduk di sini.

“Saya sedar ramai di kalangan penduduk di sini mahukan lebih banyak perubahan...lebih banyak pembangunan dan ini akan menjadi fokus saya jika menjadi wakil rakyat di samping membantu penduduk,” katanya.

Jelas beliau, walaupun baru kali pertama bertanding dalam pilihan raya namun sepanjang lapan hari berkempen respon yang diberikan pengundi amat baik.

“Respons pengundi terhadap saya amat baik, saya juga mendengar masalah dan keluhan mereka di kawasan masing-masing.

“Jadi saya harap selepas tempoh berkempen ini pengundi akan membuat keputusan bijak dengan memilih saya dan memastikan kemenangan BN,” katanya.

Sementara itu, Yuhaizat, Timbalan Ketua Pemuda PAS Melaka berkata beliau meletakkan harapan tinggi kepada pengundi agar membuat perubahan dalam pilihan raya kecil kawasan itu.

Beliau berharap agar pengundi boleh membuat kejutan di kubu kuat BN itu.

“Setelah tujuh hari berjumpa dengan seluruh pengundi-pengundi DUN Merlimau ini harapan saya begitu tinggi hasil reaksi yang diberikan oleh seluruh pengundi.

“Saya begitu yakin pengundi-pengundi DUN Merlimau ini memberi satu kejutan untuk membuat perubahan dalam pilihan raya yang akan berlangsung hari ini,” katanya.

Jelas Timbalan Yang Dipertua PAS Jasin itu, beliau berjanji akan memberikan khidmat terbaik sekiranya memenangi pilihan raya kecil itu.

“Saya harap supaya pengundi mengundi kepercayaan kepada saya untuk saya memberikan khidmat terbaik kepada mereka.

“Saya harap pengundi dapat keluar dengan lebih awal dan tak terlalu tergopoh gapah dan kita yakin keselamatan semua terjamin dengan pasukan polis yang mencukupi dan saya harap pengundi-pengundi dapat membuat pilihan yang bijak,” katanya.

DUN Merlimau mempunyai tujuh daerah mengundi termasuk Ayer Merbau, Chinchin, Jasin Lalang, Merlimau Utara, Merlimau Pasir, Permatang Serai dan Pengkalan Samak.

Pusat mengundi akan mula dibuka pada pukul 8 pagi hingga 5 petang manakala keputusan dijangka diumumkan pada pukul 8 malam.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat dikatakan melakukan kesilapan dengan tidak mengeksploitasi sentimen-sentimen tempatan, sebaliknya membawa bahan kempen nasional ke Merlimau.

Daripada memfokus mengenai Merlimau, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat bercakap mengenai perkembangan di Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan - negeri-negeri ditadbir mereka.

“Pemimpin-pemimpin cuba untuk mengetengahkan isu-isu bukan Melaka di Melaka dan cuba untuk mengaitkannya dengan penduduk tempatan,” kata pegawai parti tempatan.

Pakatan Rakyat cuba untuk menjual inisiatif 100 Hari Pertama Buku Jingga, tetapi tidak pula dijelaskan kandungannya.

Malah, pemimpin-pemimpin PAS juga kelihatan lebih cenderung untuk memberi tumpuan ke atas Kerdau. Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang hanya datang ke Merlimau sekali sahaja sebelum berlepas ke Sudan.

Kempen-kempen PAS juga menyaksikan kehadiran yang rendah sedangkan lazimnya perhimpunan malam menjadi strategi Pakatan Rakyat untuk meraih sokongan para pengundi.

Selain ceramah-ceramah malam juga gagal untuk membawa pengundi muda yang sebelum ini dianggap sebagai sokongan tetap bagi Pakatan Rakyat. Sebaliknya ceramah-ceramah itu hanya menarik penyokong dan ahli parti.

Malah usaha PAS mengadakan konsert mini di bilik operasinya juga gagal membawa hadirin yang diharapkan.

Kemenangan di kedua-dua Kerdau dan Merlimau juga petanda bahawa Datuk Seri Najib Razak akan meletakkan calon-calon muda pada pilihan raya umum akan datang.

“Dua pilihan raya kecil ini akan digunakan sebagai kayu ukur untuk menentukan calon bagi pilihan raya umum akan datang.

“Jika Umno berupaya untuk menang besar, maka ia akan digunakan sebagai satu untuk memberitahu pemimpin-pemimpin Umno bahawa orang ramai sudah mula ke arah perubahan,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.

Di Kerdau, walaupun kempen hari-hari terakhir memfokus kemunculan Ummi Hafilda Ali dan Rahimi Osman yang mengaitkan ceramah mereka dengan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi isu tempatan masih mendapat perhatian besar.

Di kerusi itu yang 89 peratus merupakan orang Melayu, daripada 8,999 pengundi, kedua-dua BN dan PAs berusaha mendapatkan sokongan mereka.

Ahli Parlimen yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Krau Datuk Ismail Mohamed Said dipetik Bernama berkata beliau positif calon BN akan menang dan jentera parti perlu bekerja sekeras mungkin untuk memastikan pengundi BN turun mengundi.

Jika dicongak dalam sifir mudah, sekiranya 80 peratus pengundi keluar mengundi, BN mampu meningkatkan majoriti sehingga 2,000 undi berbanding 1,615 undi pada pilihan raya 2008 dengan jumlah peratusan mengundi yang sama.

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata majoriti kemenangan juga dijangka bertambah dengan jangkaan 57 peratus dari tiga kawasan pengundi Felda akan memberikan undi kepada BN.

“Mereka masih kubu kuat kita. Isu-isu seperti bayaran CESS sebanyak RM13,000 sudah dapat diselesaikan. Kita akan bayar pada hari Isnin di sini dan untuk Felda tempat-tempat lain kita akan tentukan masanya,” katanya.

Sementara itu sumber dalaman PAS menganggarkan jika mereka mendapat undi sebanyak 40 peratus dari ketiga-tiga kawasan Felda, menaikkan sokongan kepada 60 peratus pengundi di kampung tradisional, undian dari kaum Cina sebanyak 70 peratus, ia adalah cukup bagi mereka untuk menang.

“Bagi undi dari kaum Orang Asli dan lain susah sikit kita nak dapat. Tetapi kalau kita tak capai kemenangan sekalipun, mengurangkan majoriti adalah cukup baik. Menang adalah bonus,” katanya.

Sementata itu, pengarah jentera pilihan raya PAS DUN Kerdau Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata sokongan masyarakat Felda penting bagi mereka kerana pada 2008 mereka tewas sebanyak 1,100 undi termasuk kawasan Felcra di Rumpun Makmur.

“Tapi sekali lagi saya tak nafikan peluang kami sukar. Tinjauan kami dapati Felda bukan kubu Umno. Felda juga ada pengundi dari luar. Kami juga payah nak jangka sokongan terhadap kami,” katanya dipetik Bernama.

Beliau berkata sokongan di kampung tradisional pula agak statik dan menyokong parti pemerintah manakala pengundi Cina memberikan respon sangat baik kepada PAS.

Apapun, pemilihan esok bukanlah satu perkara yang boleh diambil mudah demi kesinambungan kemajuan, keselesaan, keamanan bagi penduduk Kerdau yang majoritinya bekerja dalam sektor pertanian.

Bagi pecahan mengikut umur, sebanyak 21.72 peratus pengundi berumur 40 hingga 49 tahun diikuti 19.72 peratus yang berumur dari 60 hingga 69 tahun dan 16.71 peratus berumur antara 21 hingga 29 tahun.

Dari segi komposisi kaum, sebanyak 88.7 peratus pengundi terdiri daripada Melayu, lima peratus Cina, 3.3 peratus India, 2.6 peratus Orang Asli, 2.4 peratus lain-lain dan 0.01 peratus bumiputera Sarawak.

DUN Kerdau mempunyai 13 pusat mengundi dan 22 saluran mengundi.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan antara calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44, dan calon PAS Hasanudin Salim, 44.

Tiada ulasan: