Ahad, 8 November 2009

Wang ihsan: Pas cabar rujuk Perjanjian Petroleum 1974

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM – Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang mencabar Kerajaan Pusat memberi penjelasan berhubung hak menuntut royalti minyak negeri-negeri dengan merujuk kepada Akta Penggunaan Petroleum 1974.

Katanya, bukti tertulias itu boleh dirujuk kepada bekas Peguam Negara, Tun Salleh Abas dan bekas Menteri Kewangan ketika itu, Tengku Razaleigh Hamzah yang terlibat secara langsung merangka draf akta tersebut bagi membuktikan kebenarannya.

Menurutnya, Kerajaan Pusat juga perlu membuka semula kes permohonan Kerajaan Terengganu yang telah difailkan di mahkamah sejak bertahun-tahun lalu dan perbicaraan yang adil serta telus dilaksanakan, berdasarkan konsep pemisahan kuasa antara badan kehakiman dengan pihak berkuasa mengikut amalan negera-negara demokrasi yang sebenar.

“Kenyataan dari Perdana Menteri (mengenai wang ihsan Kelantan) ini telah menafikan kewujudan Perjanjian Petroleum antara negeri-negeri dengan Petronas yang ditandatangani oleh semua Menteri Besar kerana buktinya Terengganu telah menikmatinya sejak 1978 sehingga Mac 2000.

“Pas beranggapan ini adalah politik balas dendam terhadap Kelantan dan mencabar kerajaan merujuk Tun Salleh Abas dan Tengku Razeleigh Hamzah yang terbabit merangka Akta Penggunaan Petrolium 1974 bagi membuktikan kebenarannya,” katanya dalam satu kenyataan media kepada Sinar Harian semalam.

Dalam kenyataan itu juga, Hadi menyebut bukti hak royalti minyak dan gas termaktub dalam Penyata Rasmi Dewan Negara 28 Julai 1999, Penyata Rasmi Dewan Rakyat 19 Oktober 1993 serta 30 April 1997.

Bukti-bukti mengenai perjanjian ini juga katanya banyak tercatat secara bertulis dan boleh dibaca oleh rakyat.

Dalam Penyata Rasmi Dewan Rakyat 19 Oktober 1993, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Datuk Wong See Wah) menyatakan : “..Sejak bulan Ogos 1975 sehingga bulan Februari 1993, Petronas telah membayar royalti sebanyak RM3.71 juta kepada Kerajaan Negeri Terengganu, RM1.49 ribu juta kepada Kerajaan Negeri Sabah dan RM2.79 ribu juta kepada Kerajaan Negeri Sarawak”.

Tiada ulasan: