Isnin, 16 November 2009

Timbalan Menteri Angkat Sumpah Senator

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Heng Seai Kie dan Ketua Umno Bahagian Ipoh Timur Datuk Azian Osman mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Negara untuk tempoh tiga tahun di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Armani Mahiruddin.

Heng, 46, dilantik bagi penggal kedua oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, manakala Azian, 50, yang sebelum ini dilantik oleh DUN Perak kini menerima lantikan baru oleh Yang diPertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, untuk penggal kedua.

Heng yang juga Setiausaha Agung Wanita MCA dan Ketua Wanita MCA Perak memperoleh Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Politeknik Ungku Omar, Perak.

Azian pula yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan Kepujian dari Universiti Malaya memulakan kerjaya sebagai Peguambela dan Peguamcara sebelum bergiat aktif sebagai ahli politik dan perniagaan.

Beliau juga adalah Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad, ahli lembaga pengarah Perak Corporation Berhad dan Presiden Persatuan Bola Sepak Ipoh.

Armani dalam ucapannya selepas upacara mengangkat sumpah berkenaan berkata kedua-dua senator yang dilantik perlu memelihara dan mempertahankan perlembagaan negara.

"Tahniah atas pelantikan ini. Diharap Yang Berhormat juga berjaya mendukung peranan sebagai ahli Dewan Negara," kata Armani.-

Tiada ulasan: