Jumaat, 13 November 2009

SPRM, Peguam Negara kena perjelas kes Lingam

Oleh Haika Khazi


PUTRAJAYA: Panel Penilaian Operasi (PPO) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menulis surat kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dalam tempoh terdekat bagi membolehkan kertas siasatan kes video, Datuk VK Lingam dibentangkan kepada panel berkenaan.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil, berkata langkah itu perlu kerana kes berkenaan membabitkan kepentingan umum, walaupun ia berlaku sebelum penubuhan PPO pada tahun ini.

Beliau yang juga bekas Ketua Audit Negara berkata, semua pihak, termasuk orang ramai dan ahli PPO mahu mengetahui sebab sebenar SPRM menutup siasatan kes terbabit.

“Sebagai orang awam, kami ingin Peguam Negara memberi penjelasan mengenai sebab penutupan kes video V K Lingam dan perkembangan terkini siasatan kes berprofil tinggi yang disiasat suruhanjaya itu.

“Tugas utama PPO untuk memastikan siasatan dan penutupan sesuatu kes sentiasa dilakukan secara adil dan telus, sekali gus dapat mengelak timbulnya dakwaan SPRM menutup kes dengan sesuka hati mereka,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat PPO di Ibu Pejabat SPRM di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz di Parlimen minggu lalu, yang menyatakan Jabatan Peguam Negara tidak akan mengambil tindakan terhadap hasil penemuan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung klip video itu kerana tiada tindakan lanjut diperlukan (NFA) untuk dua kertas siasatan.

Nazri berkata, NFA membabitkan kertas siasatan mengikut Seksyen 15 Akta Pencegahan Rasuah 1997 mendapati tiada keterangan menunjukkan ada kesalahan jenayah dilakukan berhubung isu penyalahgunaan kuasa dalam pelantikan hakim.

Dalam perkembangan lain, Hadenan berkata, SPRM menerima 5,361 maklumat yang mempunyai unsur rasuah daripada orang ramai bagi tempoh sehingga 30 September lalu.

Daripada jumlah itu, katanya hanya 745 kes dibuka kertas siasatan, manakala selebihnya terpaksa diabaikan kerana pelbagai masalah termasuk tiada bukti kukuh, saksi gagal dikesan atau sengaja memberi keterangan bercanggah bagi melindungi pelaku rasuah .

Katanya, SPRM juga kini menghadapi masalah kekurangan Timbalan Pendakwa Raya kerana hanya mempunyai 30 pegawai untuk mengendalikan lebih 780 kes perbicaraan dan 494 kes rayuan di mahkamah.

Berikutan itu, beliau berkata, SPRM perlu berusaha untuk menambah bilangan Timbalan Pendakwa Raya bagi mempercepatkan proses penelitian dan pendakwaan kes rasuah pada masa depan.

Tiada ulasan: