Ahad, 1 November 2009

Sekolah satu aliran tidak perlu – Nazri

UTUSAN ONLINE


PADANG RENGAS – Sistem sekolah satu aliran tidak perlu dilaksanakan kerana ia bertentangan dengan pendemokrasian pendidikan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

‘‘Saya ingin jelaskan, saya sendiri tidak setuju sekolah satu aliran kerana pada saya, ia bertentangan dengan pendemokrasian pendidikan.

‘‘Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) bukan bermaksud untuk budak Cina sahaja dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) bukan untuk budak India sahaja, tetapi ia untuk budak Melayu juga, pilihan ibu bapa dan inilah pendemokrasian pendidikan,” katanya.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata demikian kepada pemberita merasmikan program Komuniti Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Perak di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan melaksanakan sistem pendidikan satu aliran oleh tokoh akademik tanah air, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim pada satu program di Pulau Pinang pada 22 Oktober lalu.

Cadangan Kay Kim itu disokong oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selepas itu.

Mengulas lanjut, Nazri berkata, sekolah satu aliran bukan satu-satunya tempat untuk murid pelbagai kaum bergaul kerana mereka boleh berbuat demikian di banyak lagi tempat lain selepas waktu persekolahan.

‘‘Walaupun kita datang dari latar belakang sekolah yang berbeza, kita datang ke taman dan bergaul dengan orang pelbagai kaum.

‘‘Kalau tidak boleh bergaul di Sekolah Kebangsaan, balik sekolah, kita masih boleh bergaul,” jelasnya.

Menurut beliau, gagasan 1Malaysia bukan seperti konsep ‘Malaysian Malaysia’ yang bermaksud menghapuskan semua perbezaan yang telah sedia ada di negara ini termasuk hak-hak istimewa orang Melayu dan kaum lain.

Katanya, ini kerana orang Melayu tidak mungkin menjadi Cina atau India dan begitu juga sebaliknya.

‘‘Apa yang kita hendak ialah orang tidak lagi menggunakan orang Melayu, Cina dan India kerana ia merujuk kepada negara asal. Hari ini, kita guna ‘saya orang Malaysia’,” katanya.

Tiada ulasan: