Ahad, 8 November 2009

Pindaan PPPA: KDN harus bertekad

oleh Lim Si Pin


Pemuda Gerakan menyambut baik hasrat Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mendengar pandangan daripada pihak media, berhubung pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA).

Pemuda Gerakan berharap KDN menunjukkan tekad politiknya untuk merealisasikan kebebasan media, malah mencadangkan agar undang-undang yang menuntut pembaharuan permit setiap tahun itu dimansuhkan.

Ketua Pemuda Gerakan, Lim Si Pin (gambar kiri) berkata, kekangan terhadap kebebasan akhbar negara kita mengakibatkan media gagal memainkan peranan sebagai pemantau, dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 merupakan salah satu tambatan kepada kebebasan media.

"Di bawah kekangan PPPA, media langsung tidak berani untuk memantau kerajaan. Maka kerajaan perlu mengkaji PPPA, memansuhkan dasar pembaharuan permit setiap tahun. Gerakan memegang kepada pendirian tersebut selama ini."

Beliau juga memaklumkan, hasrat Menteri KDN ini selari dengan manifesto Gerakan dalam Mesyuarat Agung Tahunan yang lalu, iaitu meminda, mengkaji, memansuh atau menggantikan (jika perlu) PPPA.

Namun, beliau menegaskan, yang lebih penting, KDN perlu menunjukkan keikhlasan dan usaha kerajaan dalam kebebasan media kepada media dan rakyat, dengan tindakan yang konkrit.

Dalam kenyataan media pada hari ini, Lim Si Pin mengulas apa yang diperkatakan oleh Ketua Setiausaha KDN, Mahmood Adam. Mahmood Adam menyatakan hasrat untuk mendengar pandangan media berhubung pindaan PPPA, dalam satu dialog bersama wakil media.

Lim Si Pin juga berkata, kebebasan media adalah isu yang diambil perhatian global. Seandainya Malaysia mahukan lebih demokrasi dan keterbukaan, maka kerajaan perlu membuat perubahan yang besar dalam kebebasan media, dan bukan sekadar pindaan akta, malah perubahan minda. Beliau berpendapat bahawa kerajaan perlu mengendalikan kebebasan media, dan bukannya mengawal kebebasan media.

Lim berkata, menurut Indeks Kebebasan Media 2009 yang diumumkan Reporters Without Borders pada 20 Oktober, Malaysia melonjak dari kedudukan ke-132 kepada 131, tetapi indeks ketidakbebasan media juga melonjak dari 39.50 kepada 44.25, gagal mengelakkan diri dari kategori negara yang kebebasan medianya dalam sitiuasi yang sukar.

"Justeru itu, kerajaan kita perlu lebih berusaha dalam kebebasan media."

Di samping itu, beliau juga berharap agar media membuat laporan dengan adil dan penuh bertanggungjawab, menunjukkan profesional diri untuk melaporkan kebenaran dan jangan menyalahgunakan kebebasan media.

*Kenyataan media oleh Lim Si Pin selaku Ketua Pemuda Gerakan, dalam bahasa Cina, diterjemahkan kemudiannya.

Tiada ulasan: