Sabtu, 21 November 2009

Pinda Kanun Prosedur Jenayah, Akta SPRM

UTUSAN ONLINE


PASIR MAS - Kanun Prosedur Jenayah dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu dipinda bagi memastikan pihak berkuasa dapat menjalankan tugas dengan telus dan mengelakkan tanggapan negatif masyarakat.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, keadaan yang berlaku pada masa kini amat mendukacitakan apabila segala tindak tanduk polis dan SPRM diselubungi dengan persepsi negatif sehingga menyebabkan anggota kedua-dua agensi tersebut menghadapi tekanan yang hebat.

Beliau berkata, salah satu faktor menyebabkan keadaan tersebut berlaku ialah kekaburan dalam mentafsirkan Kanun Prosedur Jenayah dan Akta SPRM 2009 sehingga pelbagai tafsiran diberikan mengikut kepentingan sendiri serta menyebabkan pihak berkuasa sukar bertindak.

"Saya merasa amat dukacita dengan persepsi negatif rakyat seperti mana yang dikatakan dalam blog dan sesetengah individu yang menuding jari dengan macam-macam isu terutama mengenai tembakan kepada penjenayah.

"Sebagai contoh, bila polis tembak, mereka kata sepatutnya tembak di kaki tetapi penjenayah boleh tembak di mana-mana saja.

"Pada masa yang sama bila kadar jenayah meningkat mereka salahkan polis, macam mana polis hendak bertindak kalau terlalu banyak tekanan sampai kadang-kadang timbul isu perkauman... jika anggota polis yang menembak itu Melayu manakala penjenayah itu Cina atau India," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengunjungi pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Muhammad Nabil Mohd. Nasir yang cacat anggota di sini hari ini.

Ibrahim yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berkata, cadangan supaya kedua-dua akta tersebut dipinda akan di bawa ke Dewan Rakyat.

"Masalah utama ialah dari segi prosedur termasuk cara siasatan perkara ini perlu diperjelaskan dalam undang-undang sebagai contoh dalam Akta SPRM, peruntukkan menyiasat saksi hanya disebut 'sehari ke sehari' yang membawa tafsiran yang sangat meluas.

"Perkara-perkara seperti ini perlu dipinda supaya ia lebih jelas dan mengelakkan tanggapan negatif dan tuduhan liar daripada rakyat," katanya.

Katanya, rakyat juga perlu proaktif dalam perkara tersebut dan jangan terus membuat kesimpulan tanpa usul periksa terhadap tindakan yang diambil oleh polis atau SPRM.

"Dalam hal ini saya tidak kata polis boleh tembak sesuka hati tetapi umumnya bila siasatan dibuat ada kecaman yang mempersoalkan cara polis menyiasat.

"Begitu juga dengan SPRM, siasatan hanya boleh dilakukan dalam waktu pejabat sahaja, saya lihat ia sukar dilaksanakan kerana pelbagai alasan akan diberikan oleh saksi untuk mengelak dari disiasat dan berdasarkan pengalaman di tahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) masa yang paling baik untuk siasat ialah pada waktu malam," katanya.

Tambahnya, isu tersebut perlu diselesaikan secepat mungkin bagi mengelakkan anggota agensi menjadi mangsa dengan tindakan pihak tertentu yang sengaja mempolitikkan soal keselamatan negara.

Tiada ulasan: