Rabu, 18 November 2009

Perkhidmatan online JPJ tidak dapat sambutan

SINAR HARIAN ONLINE


BANGI - Hanya dua peratus daripada 79,000 urusan berkaitan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada 2008 yang dikesan menggunakan perkhidmatan melalui dalam talian (online) sejak ia diperkenalkan pada 2007.

Bagaimanapun, jumlah berkenaan semakin meningkat berbanding tahun sebelumnya tidak sampai satu peratus yang menggunakan perkhidmatan dalam talian untuk menyelesaikan urusan JPJ sama ada urusan pembaharuan cukai jalan, lesen memandu dan berkaitan urusan penguatkuasaan melalui portal MyEG.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan ketika mendedahkan perkara itu berkata, terdapat beberapa faktor yang mendorong pengguna ragu-ragu menggunakan perkhidmatan dalam talian antaranya kurang percaya dengan keberkesanan sistem berkenaan berbanding perkhidmatan di kaunter.

“Bagaimanapun, kita amat menggalakkan orang ramai yang ingin membuat pelbagai urusan dengan JPJ terutama dalam urusan pembaharuan lesen memandu serta pembaharuan cukai jalan yang bukan sahaja memudahkan tetapi juga menjimatkan masa dan kos selain proses kemas kini data dalam sistem JPJ dibuat secara terus.

“Jika kita menggunakan perkhidmatan ini, sekali gus akan membantu mengurangkan jumlah kesesakan di kaunter utama JPJ,” katanya kepada pemberita di Majlis Perasmian Pejabat JPJ Negeri Selangor cawangan Bangi, semalam.

Cawangan keenam JPJ Selangor berharga RM2.8 juta itu dirasmikan Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), Datuk Normah Md Yusof.

Tiada ulasan: