Isnin, 30 November 2009

Perak tidak haramkan kursus BTN – Zambry

UTUSAN ONLINE


BAGAN SERAI – Perak tidak akan mengharamkan kursus Biro Tata Negara (BTN) kerana kursus itu merupakan asas dalam mendidik rakyat tentang sejarah, ekonomi dan politik negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pihaknya tiada halangan untuk meneruskan usaha yang telah terbukti mampu menjadi kekuatan ke arah memupuk semangat nasionalisme di kalangan rakyat sejak sekian lama.

Sebaliknya, kata Zambry, beliau pelik melihat ada pihak yang mendakwa sayangkan negara namun dalam masa sama, mempersoalkan kursus-kursus bagi menyemai rasa kecintaan kepada negara sendiri.

‘‘Selama ini BTN menjadi asas untuk mendidik rakyat tentang sejarah ekonomi dan politik negara dengan harapan akan timbul rasa tanggungjawab dan kesedaran betapa kita perlu mempertahankan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Korban Aidiladha di Dataran Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Tebuk Panchor di sini hari ini.

Zambry diminta mengulas kenyataan Lim Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur dalam blognya semalam menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menutup terus BTN jika mahu melihat gagasan 1Malaysia berjaya.

Ini kerana, Kit Siang yang juga pemimpin DAP itu mendakwa, BTN banyak menyekat perpaduan rakyat berbilang kaum.

Rabu lalu, kerajaan negeri Selangor melarang pekerja dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) negeri itu menyertai sebarang kursus anjuran BTN.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr. Halimah Ali berkata, surat arahan kepada semua jabatan, IPT serta anak-anak syarikat milik penuh kerajaan negeri akan dikeluarkan segera.

Tiada ulasan: