Jumaat, 20 November 2009

Penyokong Wee, Tee Keat pertahan prinsip perjuangan

Exco Pemuda MCA sifatkan Presiden cuba hancurkan parti

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman


KUALA LUMPUR: Penyokong MCA daripada kumpulan yang bertelagah mengadakan sidang media masing-masing semalam untuk mempertahankan perjuangan dan pendirian mereka sehari selepas sembilan anggota Majlis Presiden, termasuk lima timbalan menteri digugurkan, kelmarin.

Seramai 10 Ahli Jawatankuasa Pusat Pemuda MCA yang terkejut dengan pengguguran ketua mereka, Datuk Dr Wee Ka Siong, pada satu sidang media menyifatkan Presiden parti, Datuk Seri Ong Tee Keat sudah hilang fokus dengan 'membuang' mereka yang tidak sehaluan dengannya.

Exco Pemuda MCA, Chong Sin Woon yang mengetuai kumpulan itu, berkata tindakan Ong dilihat satu usaha menghancurkan parti secara keseluruhan dengan memusnahkan sayap Pemuda dan Wanita terlebih dulu.

"Apa yang dilakukan Ong boleh dikatakan menyamai tindakan bekas Presiden Taiwan, Lee Teng-hui yang memusnahkan Parti Kuomintang di Taiwan dengan mencantas puak penentang dalam parti sehingga menyebabkan kejatuhan parti itu.

"Apa yang Ong lakukan kini adalah menghancurkan parti selangkah demi selangkah," katanya pada sidang media di ibu pejabat MCA di sini, semalam.

Kelmarin, Ong mengumumkan sembilan penyokong Naib Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai termasuk Wee dan dan Ketua Wanita, Datin Paduka Chew Mei Fun, digugurkan daripada menganggotai Majlis Presiden berkuat kuasa serta-merta.

Chong berkata, krisis MCA yang semakin meruncing hanya akan dapat diatasi dengan campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan mengarahkan diadakan pemilihan semula parti sebelum akhir tahun ini.

Katanya, pemilihan parti boleh dilakukan sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada 5 Disember ini.

Pada sidang media berasingan, penyokong Tee Keat, Datuk Ti Lien Ker yang baru dilantik sebagai anggota Majlis Presiden berkata media dikelirukan sehingga memaparkan tajuk berita yang mencadangkan "pelan perpaduan menyeluruh" (GUP) sudah gagal atau berlaku penyalahgunaan kuasa.

"Perkataan yang digunakan media seperti 'pancung, cantas dan bakar' adalah usaha memutarbelitkan kebenaran. Drama mengeluarkan air mata secara terbuka adalah drama politik," katanya merujuk kepada Wee dan Chew yang menangis pada sidang media, selepas digugurkan, kelmarin.

Ti berkata, Chew masih Ketua Wanita dan patut berterima kasih kepada Tee Keat yang melantik Setiausaha Penganjur Wanita MCA Kebangsaan, Tan Cheng Liang dan Setiausaha Agung Wanita, Senator Heng Seai Kie menganggotai Majlis Presiden.

"Timbalan Ketua Pemuda Datuk Dr Mah Hang Soon juga dilantik ke Majlis Presiden, jadi kenapa Ketua Pemuda fikir tiada wakil?" soal Ti.

Tiada ulasan: