Khamis, 5 November 2009

Nik Aziz bersyukur, Husam tolak

UTUSAN ONLINE


KOTA BAHRU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersyukur dengan pemberian wang ihsan oleh kerajaan Pusat namun masih terkilan kerana permintaan bagi pembayaran royalti minyak masih tidak dipenuhi.

Mursyidul Am Pas itu berkata, sehubungan itu beliau akan menunaikan nazarnya untuk berpuasa tiga hari kerana peruntukan wang ihsan itu akan memberikan kebaikan kepada rakyat Kelantan.

"Tapi hati kecil saya tidak puas hati dengan nama wang ihsan. Yang kita mahukan ialah wang royalti," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan Kelantan akan menerima wang ihsan daripada kerajaan Pusat bagi hasil pengeluaran minyak di luar pesisir negeri itu melalui Petronas mulai tahun depan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa berkata, Kelantan menolak pemberian wang ihsan bagi menggantikan royalti minyak seperti yang dituntut.

Sebaliknya, katanya, kerajaan negeri akan melantik panel peguam bagi meneliti daripada sudut undang-undang berhubung tuntutan kerajaan negeri untuk mendapatkan wang royalti tersebut.

Tiada ulasan: