Ahad, 15 November 2009

Negara kerugian berbilion ringgit

BERITA HARIAN ONLINE


MIRI: Malaysia mengalami kerugian berbilion ringgit daripada kemusnahan harta benda akibat banjir besar yang disifatkan agak luar biasa pada 2003, 2004 dan awal tahun ini, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui.

Katanya, fenomena itu dipercayai berpunca daripada perubahan iklim secara mendadak yang sukar dibendung dan memberi kesan negatif kepada alam sekitar sehingga menyebabkan tanah runtuh, ribut, kemarau dan banjir.

"Jika gagal ditangani dengan baik secara bersama oleh semua pihak, fenomena ini boleh membawa kesan negatif," katanya pada pelancaran Program Pemandu Rakan Alam Sekitar, Kempen Kebersihan Sungai Miri dan Pembersihan Awam sempena Hari Pengawasan Air Sedunia di Kampung Pengkalan Lutong, di sini semalam.

Mengenai Sungai Miri yang pernah dikategorikan 10 sungai paling tercemar di Malaysia, beliau berkata, ia menunjukkan perubahan baik berbanding 10 tahun lalu tetapi tahap pencemaran bergantung kepada keadaan cuaca dan sikap penduduk.

"Pencemaran dikesan berlaku disebabkan aktiviti ekonomi seperti pembangunan, pertanian dan perikanan serta amalan penduduk membuang sampah sarap, sisa kumbahan dan sisa perindustrian ke dalam sungai," katanya.

Tiada ulasan: