Isnin, 16 November 2009

KWSP: Hanya 23% kemas kini penamaan simpanan

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Hanya kira-kira 23 peratus daripada 12.4 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengemas kini rekod penamaan terhadap caruman mereka.

Sehubungan itu, KWSP akan mengambil inisiatif melancarkan kempen kesedaran untuk mengingatkan ahli mengenai kepentingan membuat penamaan terhadap simpanan mereka.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata, tujuan penamaan adalah untuk menentukan mereka yang layak menerima simpanan tersebut jika ahlinya meninggal dunia.

''Ia sekali gus boleh memberikan perlindungan kewangan kepada waris ahli malah ia dapat mengelakkan orang tersayang daripada terus menderita.

''Tanpa penamaan, waris ahli perlu mengemukakan dokumen seperti surat Kuasa Mentadbir, Surat Probet atau Perintah Pembahagian daripada pihak berkuasa untuk mengeluarkan simpanan,'' katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Menurut Nik Affendi, proses untuk mendapatkan dokumen tersebut akan menyusahkan waris berikutan ia mengambil masa yang lama.

Selain itu, para waris juga mungkin dikenakan bayaran oleh pihak berkuasa yang terlibat.

Beliau menegaskan, setiap ahli KWSP perlu menyedari kepentingan membuat penamaan simpanan sebagai usaha melindungi kebajikan keluarga.

''Penamaan yang dikemas kini dapat memastikan simpanan ahli dibayar kepada waris yang dinamakan dengan segera,'' katanya.

Jelasnya, untuk membuat penamaan, ahli hanya perlu mengisi borang KWSP 4 yang boleh didapati di pejabat-pejabat KWSP di seluruh negara.

Selain itu, borang tersebut juga boleh dimuat turun daripada laman web myEPF, www.kwsp.gov.my dan menghantarnya ke pejabat KWSP yang berdekatan.

Tiada ulasan: