Jumaat, 6 November 2009

Jangka hayat jejambat MRR2 100 tahun: Shaziman

BERNAMA


KUALA LUMPUR - Reka bentuk sesuatu jejambat termasuk jejambat Lebuh raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) memang direka supaya ia mampu menjangkau usia antara 100 dan 110 tahun.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor memberi jaminan jejambat MRR2 yang menghubungkan Kepong dan Selayang ke Kuala Lumpur selamat diguna berdasarkan reka bentuk utama yang menekankan keselamatan.

“Untuk saya nak bagi jaminan yang mutlak, saya tidak dapat nak bagi sebab saya tidak tahu sama ada saya masih wujud atau tidak. Bagaimanapun, berdasarkan reka bentuk utamanya memang mencukupi.

“Tapi kita juga kena percaya keadaan tertentu boleh berlaku. Contohnya di Amerika Syarikat, di Missisipi di mana jejambatnya kukuh tapi berlaku keruntuhan. Di negara kita bukannya runtuh tapi cuma retak,” katanya ketika menjawab soalan Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) pada Sidang Dewan Rakyat, semalam.

Ahli Parlimen Kepong itu meminta Kementerian Kerja Raya memberi jaminan bahawa jangka hayat jejambat MRR2 itu boleh mencapai 100 tahun seperti yang dinyatakan bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu, sebelum ini.

Shaziman berkata, kerajaan hanya boleh mengambil tindakan terhadap kontraktor projek yang cuai dan terpulang kepada kontraktor berkenaan berbuat perkara yang sama ke atas perunding projek mereka.

“Projek ini dilaksanakan dengan ‘design and build’ maka kerajaan hanya bertindak terhadap kontraktor dan terpulang kontraktor menjelaskannya kepada konsultan syarikat dan tindakan boleh diambil," katanya.

Tiada ulasan: