Jumaat, 6 November 2009

Isu tenaga kerja wanita Indonesia ke Kabinet

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR – Laporan terperinci berkaitan isu tenaga kerja wanita Indonesia di negara ini khasnya pembantu rumah akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet minggu depan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, turut dimuatkan dalam laporan itu saranan dan maklum balas yang diterima daripada Duta Besar Republik Indonesia, Tan Sri Da’i Bachtiar berkaitan isu tersebut.

Katanya, antara perkara yang dibincangkan bersama Duta Besar republik itu adalah isu penderaan amah, tidak dibayar gaji, pekerjaan yang tidak bersesuaian dan masalah waktu kerja yang sangat panjang.

‘‘Saya juga akan melaporkan kepada Jemaah Menteri hasil lawatan ke tempat penginapan sementara pembantu-pembantu rumah Indonesia yang sedang menunggu perbicaraan di Kedutaan Besar Republik Indonesia di sini,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke tempat penginapan itu hari ini.

Terdapat 130 wanita dilindungi di tempat tersebut dan 15 daripadanya melibatkan kes penderaan manakala selebihnya melibatkan lain-lain kes termasuk majikan tidak membayar gaji.

Turut mengiringi lawatan beliau ialah Da’i Bachtiar dan pegawai-pegawai kedutaan negara tersebut.

Shahrizat menegaskan bahawa kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap sesiapa sahaja yang melakukan jenayah dan akan mengheret mereka ke mahkamah.

Katanya, sama ada jenayah itu dilakukan oleh pembantu rumah atau majikan, mereka perlu dihukum demi keadilan.

‘‘Malaysia memandang berat isu penderaan dan jenayah tidak kira siapa yang melakukannya. Saya sendiri telah diminta oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melawat tempat penginapan sementara pembantu rumah Indonesia yang menunggu perbicaraan.

‘‘Tumpuan saya di sini adalah kes-kes yang melibatkan penderaan amah. Saya mahu melihat sendiri bagaimana tempat penginapan ini dikendalikan. Saranan dan maklum balas daripada pihak kedutaan berkaitan isu-isu pembantu rumah yang dibincangkan hari ini bakal saya maklumkan kepada Kabinet,’’ katanya.

Dalam pada itu Shahrizat berkata, modul peraturan antara majikan dan pekerja perlu diperhalusi oleh Kementerian Sumber Manusia demi kepentingan kedua belah pihak bagi mengelakkan kes penderaan berulang.

‘‘Modul peraturan itu perlu diperincikan. Majikan dan pekerja perlu disedarkan mengenai hak dan undang-undang yang perlu mereka patuhi.

‘‘Sebelum mula bekerja, kedua belah pihak perlu tahu hak dan peraturan masing-masing. Modul ini akan diperincikan dulu sebelum disaran pada Kabinet,’’ katanya.

Menurutnya, masyarakat dunia perlu tahu bahawa majikan Malaysia bukanlah zalim.

Sementara itu Da’i Bachtiar berkata, sebanyak 1,000 aduan telah diterima daripada tenaga kerja Indonesia di negara ini yang melibatkan kes penderaan, tidak dibayar gaji dan lain-lain.

‘‘Kes yang ditangani oleh kami di sini meningkat berbanding 800 kes yang diterima pada tahun lalu,’’ katanya.

Tiada ulasan: