Khamis, 19 November 2009

Diskaun: Kutipan pinjaman Mara tunjuk angka peningkatan

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Kutipan bayaran balik pinjaman Majlis Amanah Rakyat (Mara) menunjukkan perkembangan positif selepas program tawaran diskaun 30 peratus kepada para peminjam yang layak diperkenalkan Oktober lalu.

Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh (gambar) berkata, Pahang dan Terengganu misalnya sudah berjaya mengutip lebih RM500,000 daripada peminjam yang layak mendapat diskaun tersebut.

''Tawaran itu bertujuan menggalakkan peminjam pendidikan dan perniagaan membuat bayaran balik di samping mengurangkan beban kerja dan memperbaiki kedudukan kewangan Mara.

''Mara lebih menumpukan kepada peminjam skim pendidikan kerana mereka kini sudah menjadi golongan profesional yang mampu melunaskan hutang dan Mara tidak mahu mereka terikat dengan tempoh bayaran balik yang panjang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Graduasi dan Penyampaian Sijil Taska Mara 2009 di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) Mara, Abdul Rahim Abdul Ghani.

Tambah Idris, Mara tetap mengambil tindakan undang-undang sebagai langkah terakhir menyelesaikan isu tersebut.

"Saya harap peminjam mengambil peluang dalam tempoh kurang dua bulan ini kerana Mara akan meneruskan proses menyenarai hitam dan menyaman peminjam yang berdegil untuk membuat bayaran balik," katanya.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata, satu majlis akan diadakan bagi memperingati jasa Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein terhadap penubuhan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

"Bermula dengan penubuhan MRSM yang pertama di Seremban pada 1972, MRSM kini berjaya melahirkan ramai tokoh dalam pelbagai bidang,'' ujarnya.

Menurutnya, antara pelajar terlibat ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir; angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

"Malah 20 peratus daripada pegawai perubatan di negara ini merupakan bekas pelajar MRSM," katanya.

Tiada ulasan: