Selasa, 10 November 2009

Cek Tendang, Kenapa USIA Tidak Buat Laporan Polis?

Oleh: SALIHIN LADJA MURA (sabahkini)

WALAUPUN telah ditipu oleh Pengarah Urusan Sagajuta Sdn.Bhd sejumlah RM4.94 juta, namun Yang Di Pertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Tun Sakaran Dandai enggan mengambil sebarang tindakan terhadap pemaju Kompleks 1Borneo, sebaliknya terus ‘membela’ Raymond Chan Boon Siew dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Usia baru-baru ini.

“Kita kesal kerana Tun tidak lagi mampu memimpin Usia dan tunduk kepada bukan Islam semata-mata untuk menjaga kepentingan peribadi beliau dan anaknya, Datuk Nasir,” ujar seorang Ahli Majlis Tertinggi Usia yang menamakan dirinya sebagai ‘Pembela Kebenaran’.

Kata Pembela Kebenaran, beliau kesal kerana Mesyuarat Agung Usia yang dijadualkan pada 13 November 2009 yang sepatutnya diadakan di Bangunan Milik Usia yang dijanjikan Pemaju Hypermall 1Borneo, namun oleh kerana gagal disiapkan maka Usia terpaksa bersidang di 1Borneo Ballroom.

“Kita malu dengan sikap Tun Sakaran yang ‘dayus’ kerana menjalinkan usahasama dengan bukan Islam sedangkan ramai jutawan Islam seperti Tan Sri Syed Mokhtar dan sebagainya berminat untuk mengikat kerjasama bestari dengan Usia,” ujar Pembela Kebenaran yang mengesahkan isu usahasama membina 1Borneo tidak pernah dibincangkan di Persidangan Agung Usia ataupun mendapat restu daripada Majlis Tertinggi Usia.

Tegasnya, semua keputusan dibuat oleh Tun Sakaran dan Setiausaha Agung, Haji Abdullah Hussin dan membelakangkan semua AMT Usia.

Akibatnya, kata Pembela Kebenaran lagi, semua ahli Usia mendapat malu kerana senarionya tidak ubah seperti kisah Pak Kadok, menang sorak, kampung tergadai.

“Bukankah ini mencemarkan imej Islam dan Usia apabila kita bermesyuarat Agung di tanah milik sendiri tetapi bangunan milik orang Cina? Kini bangunan yang dijanjikan gagal ditunaikan sebaliknya Tun Sakaran menggadai maruahnya dengan bersetuju memindahkan Bangunan Usia daripada Office Building kepada Condiminium Building,” ujar Pembela Kebenaran yang tidak lagi gentar untuk menyerahkan dua keping penyata Baki Hutang Sagajuta Sdn.Bhd kepada Usia yang ditandatangani oleh Bendahari Agung, Haji Ariffin Haji Sani.

Atas sebab tertentu, Pembela Kebenaran terpaksa menggunakan nama samaran untuk mengelak ugutan kepada keluarganya, namun bersedia dipecat daripada Usia atas perbuatannya mendedahkan rahsia dalaman Usia kepada umum.

“Jika saya tidak dedahkan, selama itu umat Islam akan menanggung dosa bersubahahat dengan Tun Sakaran menjadikan tanah Usia sebagai Pusat Maksiat terbesar di Asia Tenggara,” ujar Pembela Kebenaran yang menghubungi krew Sabahkini.net setelah membaca isu Usia disiarkan di laman portal paling popular ini.

Kata Pembela Kebenaran, Kompleks seluas 4.8 juta kaki persegi merupakan yang terbesar di Sabah yang dibina di atas tanah milik Usia seluas 23.3 ekar di Lebuhraya Sulaman, bersebelahan dengan Universiti Malaysia Sabah dan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Mini Putrajaya.

Mengikut Perjanjian Usahasama yang dimaterai antara Usia dengan Sagajuta Sdn.Bhd, Usia akan menerima RM11.15 juta namun sehingga 4 Oktober 2009, Sagajuta hanya membayar RM6.9 juta.

“Baki yang tertunggak sejumlah RM4.25 juta sebenarnya telah dibayar secara ansuran sejak 10 Februari 2009 sehingga 30 Julai 2009 melalui Sembilan keping cek Sagajuta, namun sehingga ke hari ini (4 November 2009) tidak ada satupun cek berkenaan dapat ditunaikan. Kami mendesak Tun Sakaran membuat laporan polis, namun beliau tetap mempertahankan Raymond Chan dan Sagajuta,” ujar Pembela Kebenaran lagi.

Pembela Kebenaran menjelaskan bahawa jumlah tersebut tidak termasuk RM1.5 juta yang merupakan tambahan Usia entitlement kerana bersetuju berpindah daripada Office Building ke Condominium Building. Caj lain juga tidak dimasukkan kerana dokumen perjanjian belum diserahkan kepada Usia.


Tiada ulasan: