Khamis, 19 November 2009

CBD 88: SPRM masih siasat

UTUSAN ONLINE


KUANTAN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menjalankan siasatan berhubung tuntutan bahan api yang tidak munasabah melibatkan sebuah kenderaan rasmi kerajaan negeri yang sudah tidak digunakan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhammad Safian Ismail berkata, pegawai SPRM masih lagi menjalankan siasatan mengenai perkara tersebut sejak 5 November lalu selepas ia didedahkan dalam Laporan Audit Negara 2008.

Beliau berkata, kenderaan rasmi tersebut jenis Proton Perdana dengan nombor pendaftaran CBD 88 sudah tidak digunakan semenjak pilihan raya umum lalu.

"Saya tak mahu komen kerana benda itu di bawah siasatan dan pegawai SPRM masih di pejabat saya untuk mencari fakta. Dia ada sejak 5 November lalu dan datang secara berkala," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas Laporan Audit Negara yang menyatakan terdapat penyelewengan penggunaan bahan api yang berlebihan dalam tempoh masa yang singkat oleh kenderaan kerajaan negeri.

Laporan itu mendapati kenderaan Proton Perdana itu mengisi bahan api secara tidak munasabah iaitu sebanyak enam kali dalam tempoh sebulan pada Disember 2008.

Semakan Laporan Audit mendapati pengisian sebanyak 743.39 liter berjumlah RM1,350 itu dilakukan dalam tempoh yang singkat dan meragukan.

Sementara itu, bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Kan Tong Leong yang menggunakan nombor pendaftaran CBD 88, tampil memberi penjelasan berhubung laporan tersebut.

Katanya, beliau tidak lagi menggunakan kereta Proton Perdana milik kerajaan negeri itu sejak 2003 selepas tidak lagi dilantik sebagai Exco.

"Kereta Proton Perdana itu adalah kereta rasmi yang disediakan kerajaan negeri kepada Exco untuk menjalankan tugas rasmi. Bagaimanapun, saya tidak lagi menggunakan kereta itu selepas tidak menjadi Exco pada tahun 2003," katanya.

Tiada ulasan: