Selasa, 17 November 2009

Ar-Rahnu X'Change lebih pantas daripada ah long - Ismail Sabri



Ismail Sabri Yaakob melihat pegawai Ar-Rahnu, Muhamad Nukman Mahmud melakukan urusniaga pelanggan, Rafidah Ahmed Zainudin di francais Ar-Rahnu X-Change ke-6 di Petaling Jaya, semalam.

UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR - Jika faktor mudah dan cepat mendorong ramai peminjam mengunjungi ah long, kini tidak ada alasan lagi untuk mereka berbuat demikian.

Ini kerana Ar-Rahnu X'Change bukan sahaja memenuhi tuntutan 'mudah dan cepat' dengan jaminan penyerahan wang dalam tempoh 10 minit - malah lebih baik lagi, pinjaman yang ditawarkannya juga selamat!

Sehubungan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selaras dengan slogan 'mudah, cepat dan selamat', para peminjam boleh mendapatkan wang tunai sejurus menyerahkan barang kemas mereka untuk dicagarkan.

"Alasan yang selalu diberi peminjam ah long adalah terdesak memerlukan wang tunai dan mahukannya segera. Kini mereka mempunyai alternatif iaitu mendapatkan pinjaman daripada Ar-Rahnu X-Change.

"Konsep Ar-Rahnu berbeza dengan pajak gadai kerana ia bebas daripada riba dan peminjam tidak dikenakan bayaran faedah. Mereka hanya perlu membayar kadar upah menyimpan emas tersebut dan ia juga tidak mempunyai tempoh lelap," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan francais Ar-Rahnu X'Change keenam di Jalan Othman, Petaling Jaya di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Mangsur Saad; Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Dr. Syed Jalaludin Syed Salim dan Pengarah Urusan bank itu, Datuk Kamaruzaman Che Mat.

Ar-Rahnu X-Change memberi margin pinjaman 65 peratus nilai semasa di pasaran ke atas cagaran dengan kadar upah simpan RM0.65 sebulan setiap RM100 marhun (nilai marhun kurang daripada RM1,000) dan RM0.70 sebulan (setiap RM100 bagi nilai marhun yang lebih daripada RM1,000).

Sementara itu, Ismail Sabri menyarankan individu yang berdepan masalah banjir di kawasan masing-masing lebih bijak memilih barangan untuk dibeli terutama makanan segar.

Beliau mengakui, berlaku kenaikan harga pada barangan tertentu akibat ketidakseimbangan bekalan dan permintaan ketika ini di kawasan terlibat.

Namun, katanya, kenaikan itu bukan sesuatu yang perlu dirisaukan kerana ia tidak berlaku secara mendadak dan berpanjangan selain pemantauan berterusan oleh kementerian.

"Bohong jika saya katakan tiada kenaikan ketika ini kerana permintaan ke atas makanan segar seperti ikan tidak dapat dipenuhi disebabkan nelayan tidak ke laut.

"Namun ia tidak berlaku mendadak dan berpanjangan. Kementerian sudah berbincang dengan beberapa pasar raya besar, mereka setuju melambakkan barangan yang kurang bekalannya di kawasan terbabit bagi menstabilkan harga," ujarnya.

Tiada ulasan: