Isnin, 9 November 2009

5 ahli PCO Boy ditembak mati

Oleh Rafidah Mat Ruzki


KLANG: Polis menembak mati lima penjenayah kumpulan PCO Boy termasuk ketua kumpulan di Jalan Sungai Keramat, Kapar, di sini, awal pagi tadi, ketika dipercayai merancang untuk menyamun.

Sebelum itu, kumpulan perompak terbabit yang menaiki sebuah kereta Perodua Kelisa memecut ketika polis cuba menahan mereka untuk pemeriksaan menyebabkan berlaku insiden berbalas tembak.

Bagaimanapun, kereta suspek yang dipandu laju terbabas merempuh penghadang jalan merentasi parit.

Kelima-lima suspek tumpas dan mati di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Hasnan Hassan, berkata kumpulan itu dipercayai aktif melakukan samun dengan menggunakan pedang samurai.

Turut dirampas ialah sepucuk pistol jenis automatik Remington .45, lima bilah pedang dan parang.

Katanya, siasatan awal mendapati ketua kumpulan itu diburu sejak beberapa bulan lalu kerana dipercayai terbabit dalam beberapa kes samun dan gengsterisme.

Berdasarkan semakan rekod jenayah, ketua kumpulan itu mempunyai 13 rekod jenayah kes samun.

Berikutan tumpasnya kumpulan penjenayah itu, polis yakin dapat menyelesaikan lebih 10 kes samun bersenjata dan rompakan.

1 ulasan:

theriderinblack berkata...

Tahniah kepada Polis. Memang patut penjenayah seperti ini ditamatkan saja riwayatnya daripada membiarkan mereka menyusahkan masyarakat dan negara.
Setuju dengan pendapat Pengarah JSJ Bt Aman, bahawa Polis mempertahankan diri daripada serangan penjenayah.
Apa yang dikesalkan ialah ada NGO yang cuba mempertahankan penjenayah tersebut seolah-olah tindakan Polis adalah salah. Malah mereka memberikan pandangan bahawa Polis boleh menangkap dan membawa penjenayah tersebut ke mahkamah untuk didakwa.
Tak perlulah rasanya mereka itu ditangkap kerana ia hanya membazirkan wang pembayar cukai untuk menyara makan minum penjenayah itu di penjara. Masih banyak lagi rakyat miskin di negara ini yang memerlukan saraan. Sekali lagi Syabas kepada PDRM.