Selasa, 21 April 2009

Adun Melor dapat kebenaran mahkamah halang media lapor kesnya.

Oleh Mohd Sabran Md Sani


KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini membenarkan permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melor menghalang media daripada membuat sebarang liputan mengenai kesnya sepanjang perbicaraan.

Hakim Syarie, Abdullah Man membuat keputusan itu sejurus mendengar hujahan peguam Md Raziman Yaakob yang mewakili Wan Ismail Wan Jusoh, 54, berkaitan permohonan perintah menghalang terbabit.

Ini kerana sebaik kes membabitkan tuntutan mutaah RM3 juta yang dikemukakan bekas isteri kedua Adun terbabit, Siti Aishah Chou Abdullah, 24, disebut semula semalam, Md Raziman bangkit berhujah mengenai permohonan anak guamnya.

"Hari ini anak guam saya memfailkan permohonan untuk mengeluarkan perintah menghalang media daripada membuat sebarang liputan mengenai kesnya di Mahkamah Syariah.

"Anak guam kami memohon kepada Mahkamah Syariah menetapkan satu perintah menghalang responden atau mana-mana pihak termasuk wartawan menyiarkan dalam akhbar," katanya.

Md Raziman yang baru menerima wakalah perlantikan untuk mewakili Wan Ismail berkata, antara alasan anak guamnya tidak mahu kesnya disiarkan dalam akhbar berbahasa Melayu, Inggeris dan lain-lain kerana tidak mahu diaibkan.

Tiada ulasan: