Ahad, 3 Ogos 2008

Rafidah akui wujud rasuah politik pemilihan cawangan, bahagian
Oleh SAODAH E'LIAS

KUALA LUMPUR: Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz mengakui kewujudan rasuah politik dalam pemilihan pergerakan itu di peringkat cawangan dan bahagian.

Kata Rafidah, beliau telah mendapat laporan mengenai penularan fenomena itu dan meminta sesiapa yang mempunyai maklumat dan bukti lengkap mengenainya agar membuat laporan terus kepada Lembaga Disiplin parti.

"Saya ingin nasihatkan kalau hendak bertanding pun jangan sampai pecah-belahkan Umno kerana kekuatan kita ialah di peringkat akar umbi.

"Jangan gunakan rasuah politik, jangan berseteru semata-mata kerana jawatan, jangan tabur fitnah agar nanti kita tidak menang sorak kampung tergadai, menang jadi arang, kalah jadi abu," kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat exco pergerakan itu di sini.

Menurutnya, beliau telah diberitahu bahawa banyak juga ketua Wanita Umno bahagian akan menghadapi pertandingan tahun ini, sama ada sesama ahli jawatankuasa bahagian, orang luar atau dalam beberapa kes dicabar oleh bekas ketua Puteri Umno.

Dalam pada itu, Exco Pemuda Umno Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, beliau menerima banyak aduan mengenai perkara-perkara yang melanggar etika berlaku dalam pemilihan peringkat cawangan dan bahagian, termasuk aduan mengenai anggota yang tidak dikenali hadir sebagai perwakilan dan janji-janji mengenai pemberian imbuhan ditaburkan.

Mukhriz berkata, Umno ketika ini memerlukan pembaharuan dalam parti dan beliau menyeru supaya peluang diberikan kepada anggota-anggota untuk menentukan sendiri kepimpinan parti.

Malah, kata beliau, suara akar umbi dalam pemilihan Umno Disember ini harus dihormati dan seharusnya tiada sekatan dikenakan ke atas mana-mana anggota yang berhasrat menyuarakan kehendak masing-masing.

Beliau berkata, anggota parti berhak menyuarakan pendapat mereka selagi mereka tidak melanggar perlembagaan parti, dan menurutnya jika terdapat sebarang peraturan baru yang kelihatan seolaholah memberi kelebihan kepada penyandang jawatan, pemilihan itu adalah tidak wajar.

"Mana-mana pihak juga berhak untuk berhubung terus dengan kepimpinan di peringkat cawangan, saya sendiri menulis surat kepada ketua-ketua cawangan seluruh negara memohon supaya cawangan mengusulkan pencalonan," katanya selepas majlis perasmian Francais Antarabangsa Malaysia yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini, hari ini.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Jerlun berkata, ruang perlu diberikan kepada calon-calon yang menawarkan diri untuk bertanding pada pemilihan ini supaya mereka dapat memperkenalkan diri kepada perwakilan.

Tiada ulasan: