Sabtu, 19 Disember 2020

Noor Ashikin juruwang cacat penglihatan

KUALA PILAH: Melihat kecekapannya mengira, membezakan nilai wang dan mengendalikan kalkulator, mungkin ramai yang tidak mempercayai Noor Ashikin Borhanuddin seorang wanita cacat penglihatan secara total.

Selain itu, Noor Ashikin, 43, juga cacat kaki dan tangan.

Namun, di sebalik kecacatannya, wanita ini membuktikan dia mampu menjalankan tugasnya sebagai juruwang - pekerjaan yang memerlukan kemahiran dan kepekaan yang tinggi - dengan cekap.

Bekerja di sebuah kedai runcit milik Pusat Jagaan Bengkel Seri Perkasa, Johol sejak 10 tahun lalu, Noor Ashikin berkata dia pada mulanya kurang yakin dengan kemahirannya namun mencabar diri untuk melakukan pekerjaan itu.

"Lama-kelamaan saya mula sesuaikan diri apabila mendapat sokongan daripada pihak pusat jagaan dan penghuni lain," katanya kepada pemberita di tempat kerjanya, di sini hari ini.

Anak kelahiran Gemencheh itu tinggal di pusat jagaan itu yang pada masa ini menempatkan 10 individu kurang upaya, sejak 2008.

Noor Ashikin menunjukkan kemahirannya membezakan kad tambah nilai dengan meletakkan kad itu di dalam plastik yang dilabelkan dengan tulisan Braille. - Foto BERNAMA
Noor Ashikin menunjukkan kemahirannya membezakan kad 
tambah nilai dengan meletakkan kad itu di dalam plastik yang 
dilabelkan dengan tulisan Braille. - Foto BERNAMA

Noor Ashikin menunjukkan cara-cara membezakan nilai wang kertas yang diberi pelanggan dengan menyentuh saiz wang. - Foto BERNAMA
Noor Ashikin menunjukkan cara-cara membezakan nilai wang 
kertas yang diberi pelanggan dengan menyentuh saiz wang. - 
Foto BERNAMA

Berkongsi pengalaman menguruskan kedai, anak sulung daripada 11 beradik itu cekap memanfaatkan deria sentuhnya untuk membezakan nilai wang dalam urus niaga harian selain menggunakan kalkulator khas bagi mengira baki.

Katanya, dia turut dibantu tiga rakan lain yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pembelajaran untuk menyusun barang jualan, melabel tanda harga dan membersihkan kedai yang dibuka setiap hari bermula 9 pagi hingga 6 petang.

Noor Ashikin berkata dia pernah berdepan pengalaman pahit ditipu pelanggan yang memberikan mata wang asing seakan wang bernilai RM50 selain barangan runcit pernah dicuri.

"Saya akui cukup terkesan dengan kejadian itu dan rasa sangat sedih dan kecewa… tetapi saya jadikan pengalaman itu sebagai satu cabaran untuk lebih berani dan berhati-hati bagi memastikan kejadian sama tidak berulang lagi," katanya.

Wanita itu yang pernah menjadi juara majlis tilawah al-Quran peringkat Negeri Sembilan kategori cacat penglihatan turut menasihati mereka yang senasib dengannya supaya tidak mudah berputus asa dan menggunakan kelebihan yang ada untuk membaiki kehidupan.

"Jangan pernah mudah mengalah… sama-sama buktikan kepada orang ramai bahawa OKU juga mampu berdiri atas kaki sendiri," katanya. – BERNAMA

Noor Ashikin membaca Al-Quran dalam bentuk Braille ketika waktu terluang sementara menunggu pelanggan di kedainya. - Foto BERNAMA
Noor Ashikin membaca Al-Quran dalam bentuk Braille ketika 
waktu terluang sementara menunggu pelanggan di kedainya. - 
Foto BERNAMA

Tiada ulasan: