Sabtu, 19 Disember 2020

Lebih 2,000 penghuni RMM Teluk Kalong tinggalkan rumah dinaiki air .

Oleh Zaid Salim
Penghuni RMM Teluk Kalong, Kemaman berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dinaiki air susulan hujan lebat sejak pagi tadi. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Penghuni RMM Teluk Kalong, Kemaman berpindah ke pusat pemindahan 
sementara (PPS) selepas kediaman mereka dinaiki air susulan hujan lebat
sejak pagi tadi. - Foto NSTP/Ghazali Kori

CHUKAI: Air yang naik secara mendadak memaksa lebih 2,000 penghuni Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong, di sini, meninggalkan rumah sejak jam 11 pagi tadi.

Penghuni berpindah sementara sama ada di rumah saudara mara atau pusat pemindahan sementara (PPS) Universiti Kolej TATI dan SK Teluk Kalung, di sini, apabila air mula memasuki rumah sehingga paras lebih 0.5 meter.

Difahamkan, banjir yang melanda kawasan perumahan yang menempatkan 500 unit rumah itu berpunca daripada sistem pembetungan yang dikatakan sempit dan tidak mampu menampung aliran air keluar yang banyak, menyebabkan limpahan di tali air berhampiran kawasan perumahan terbabit.

Penduduk, Roslin Rani, 51, berkata, banjir tahun ini adalah yang kedua selepas 2016.

"Banjir pada 2016 dianggap terburuk apabila paras air mencecah sehingga lebih dua meter," katanya.

Menurut Roslin, pertembungan air pasang besar yang dijangka berlaku pada tengah malam ini boleh menyebabkan kawasan perumahan itu ditenggelami air sehingga paras lebih satu meter.

Bagi memastikan keselamatan komuniti di kawasan berkenaan, pihak keselamatan sentiasa melakukan rondaan.

"Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga mengambil tindakan memotong bekalan elektrik sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya.

Tiada ulasan: