Rabu, 2 September 2020

Banyak ketirisan dalam isu berkaitan perolehan kerajaan – SPRM

Manzaidi Mohd Amin
MGF21062019_PC-LATHEEFA-KOYA60-681x452
Azam Baki

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan banyak ketirisan atau rasuah berlaku dalam isu yang berkaitan perolehan kerajaan.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Azam Baki berkata, kalau sebelum ini SPRM menumpukan kes melibatkan rasuah di ‘tepi jalan’ tetapi bermula tahun 2015 hingga tahun ini -penguatkuasaan dan siasatan lebih tertumpu kepada pegawai serta kakitangan yang bertugas di jabatan dan agensi kerajaan.

“Isu perolehan ini, kalau kita tengok sejak kebelakangan ini di mana pegawai kerajaan atau mereka yang bertugas di agensi yang berkaitan dengan kerajaan, banyak menipu dalam hal perolehan kerajaan.

“Perbuatan seperti ini menyebabkan kehilangan duit yang begitu banyak,” katanya dalam bual bicara Dialog@Gegau menerusi siaran Melakafm hari ini.

Azam memberi contoh, kes rasuah yang berlaku di Sabah beberapa tahun lalu di mana kerajaan telah mengeluarkan projek untuk bekalan air di negeri itu sebanyak RM1.5 bilion.

Bagaimanapun, katanya, hasil siasatan SPRM mendapati, kos projek berkenaan tidak pun sampai separuh dari harga dinyatakan, menyebabkan separuh lagi wang kerajaan hilang begitu sahaja akibat rasuah.

“Dalam kes ini, kita telah menangkap tiga pegawai kanan kerajaan, yang kini sedang dalam perbicaraan dan merampas wang tunai sebanyak RM114 juta. Lebih mengejutkan, kita juga jumpa sebanyak RM53.3 juta wang tunai dalam rumah pegawai berkenaan.

“Di Melaka pun pernah seorang pegawai kerajaan berjawatan pengarah telah melakukan rasuah akibat dari projek yang diberikan. Rasuah yang diterima itu begitu banyak sehingga dalam kita menjumpai kira-kira RM60 juta tunai dalam rumah, yang diletakkan dalam siling dan sebagainya.

“Kes begini merupakan satu perkara yang amat merungsingkan kepada kita terutama kepada saya sendiri sebagai penguatkuasa undang-undang,” katanya.

Azam berkata, SPRM tetap mengamalkan ketelusan dalam menyiasat kes berprofil tinggi seperti itu dan terus memaklumkan kpada masyarakat supaya mereka tahu apa yang berlaku.

Katanya, mungkin ada suara nakal mengatakan mereka kadang-kadang tidak tahu apa sudah terjadi dengan siasatan pihaknya.

“Kita sentiasa memaklumkan perkara ini dalam media dan masyarakat mengenai tangkapan demi tangkapan dan apakah hasil dari siasatan kami. Ada yang dituduh dan ada yang tidak dituduh di mahkamah.

“Di Parlimen juga kami membekalkan maklumat kepada menteri undang-undang untuk menjawab.

“Jadi, tugas SPRM bukan sekadar penguatkuasaan undang-undang, kita juga memaklumkan kepada masyarakat mengenai apa yang kita buat. Inilah kehendak masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: