SELANGOR: Kerajaan Negeri Selangor akan mengkaji kaedah yang boleh dilakukan bagi menangani pencemaran yang mungkin akan berlaku susulan insiden air Sungai Gong, Rawang yang berwarna hitam.
Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim berkata, pihaknya akan memberi kelulusan dengan segera tentang kaedah terbaik bagi menangani permasalahan tersebut.
“Sungai Gong saya sudah melawat semalam. Untuk jangka pendek ada yang kita akan lakukan dan dalam jangka panjang memang ada perancangan untuk penempatan yang berisiko tinggi tapi ia mengambil masa. Kita tak nak biarkan benda itu menyebabkan pencemaran, jadi kita ada langkah yang akan dilakukan.
“Sungai Gong itu kawasannya luas kolam 35 ekar. Ia akan jadi hentian terakhir dan sebelum dia mengalir keluar kita nak besarkan ia, dan kita akan luluskan dengan segera. Sekarang kita sedang kaji apa jenis kaedah yang kita boleh buat,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Sambutan Hari Sungai Sedunia 2020 peringkat negeri Selangor dan pelancaran Inisiatif Friends of River (FOR) negeri Selangor, semalam
Sebelum ini, media melaporkan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerima laporan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran Gombak berhubung insiden air Sungai Gong, Rawang yang berwarna hitam.
LUAS dalam kenyataan memaklumkan insiden berkenaan dikesan pada 12.11 tengah hari di kawasan Inlet Kolam Tebatan Banjir JPS.
Bagaimanapun, tiada henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) dan gangguan bekalan air dilaporkan.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati air sungai berkenaan berwarna hitam bagaimanapun tiada bau dan ia disyaki disebabkan oleh pewarna.
Susulan daripada itu, ujian efluen telah dijalankan kerajaan negeri masih menunggu keputusan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, pada kebiasaannya, keputusan ujian itu mengambil masa tujuh hingga 14 hari. – UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan