KLANG: Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengambil sikap berdiam diri berhubung pengumuman Presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempunyai majoriti membentuk kerajaan baharu.
Malah, Wan Azizah juga enggan mengulas lanjut ketika diminta mengulas tindakan Setiausaha Agung Barisan Nasional, Tan Sri Annuar Musa mendakwa Anwar hanya umpan pihak lain agar Pilihan Raya Umum ke-15 ( PRU-15) dilaksanakan segera
“Tanya dia (Annuar Musa). Awak patut tanya dia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Program Cakna Siswa dan Pusat Pembangunan Komuniti di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa di Jalan Sungai Jati, di sini, hari ini.
Kelmarin, Annuar Musa menerusi ciapan di laman twitternya mendakwa Anwar Ibrahim menjadi umpan pihak lain untuk supaya PRU-15 berlangsung secepat mungkin.
Ahli Parlimen Ketereh itu menegaskan Ketua Pembangkang itu akan segera menjadi tidak relevan dalam dunia politik negara ini sekiranya PRU-15 diadakan lebih segera.
“Lagi cepat PRU lagi cepat Anwar menjadi tidak releven…entah siapa agaknya strategis Anwar. PM tepi dan diketepikan memanjang.
“Saya percaya Anwar telah dijadikan umpan, untuk meminta PRU disegerakan.Tak lebih dari itu.
“Itu namanya politik. Siapa memancing dan siapa dipancing belum tau. Yang pasti UMNO dan MN mempunyai pendirian jelas…NO ANWAR NO DAP…..sesiapa yg nak ikut mereka, sila,” katanya.-UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan