Rabu, 23 September 2020

PM umum BPN 2.0 RM7 bilion, B40 dapat RM1,000

PETALING JAYA: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pemberian tunai tambahan menerusi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 berjumlah RM7 bilion.

Bantuan itu membabitkan 10.6 juta penerima merangkumi setiap lapisan masyarakat.

Beliau berkata, menerusi BPN 2.0 golongan isi rumah B40 akan menerima bayaran tunai tambahan RM1,000 manakala B40 bujang RM500.

Bagi isi rumah M40 akan diberi RM600 dan M40 bujang menerima bayaran RM300.

“Mengambil kira segala kesukaran yang masih dihadapi oleh rakyat, kerajaan membuat keputusan menyediakan bantuan tambahan untuk rakyat melalui pemberian tunai tambahan bawah Bantuan Prihatin Nasional 2.0 dengan peruntukan hampir RM7 bilion.

“Jumlah bantuan akan disalurkan bawah BPN 2.0 adalah RM1,000 kepada 3.7 juta isi rumah B40, RM500 kepada 3.8 juta kumpulan B40 bujang, RM600 kepada hampir 1.4 juta isi rumah M40 dan RM300 kepada 1.7 juta kumpulan M40 bujang,” katanya menerusi perutusan khas Kita Prihatin hari ini.

Muhyiddin berkata, bantuan BPN 2.0 akan dibuat melalui 2 kali bayaran.

“Pertamanya pada hujung Oktober 2020 dan keduanya, pada Januari 2021. Bagi golongan B40, bayaran ansuran pertama Oktober sebanyak RM700 dan keduanya, pada Januari 2021 sebanyak RM300.

“Tiada permohonan yang perlu dibuat untuk mendapatkan bantuan BPN 2.0. Kerajaan akan menyalurkan bantuan secara terus kepada 10.6 juta penerima yang diluluskan bawah BPN sebelum ini,” katanya.

Katanya, bagi mereka yang layak tetapi tidak pernah menerima BPN, kerajaan akan memberi peluang untuk rayuan dan permohonan baharu.

“Saya berharap dengan adanya bantuan tambahan ini, saudara dan saudari dapat menarik sedikit nafas lega dalam menampung perbelanjaan harian saudara saudari dan seisi keluarga,” katanya.

Sebelum ini kerajaan membelanjakan RM11.2 bilion bagi BPN yang memanfaatkan 10.6 juta penerima.

Lanjut subsidi upah

Sementara itu, Muhyiddin turut mengumumkan inisiatif subsidi upah dilanjutkan hingga Disember ini.

Program Subsidi Upah 2.0 melibatkan peruntukan RM2.4 bilion dan memanfaatkan 1.3 juta pekerja.

“Ciri utama program ini ialah pertama, subsidi upah diberi kepada majikan masih terjejas iaitu syarikat yang sejak perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) masih menghadapi pengurangan hasil sekurang-kurangnya 30% berbanding tahun lalu.

“Kedua, subsidi upah diberi hingga 3 bulan kadar RM600 sebulan untuk setiap pekerja hingga maksimum 200 pekerja dan ke-3, permohonan dibuka bermula 1 Oktober hingga 31 Disember 2020,” katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau menerima pelbagai maklum balas berhubung program subsidi upah antaranya daripada mereka yang tidak layak menerimanya kerana tidak menepati syarat kelayakan berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebelum 1 April lalu.

Katanya, bagi memastikan golongan terbabit tidak ketinggalan program Subsidi Upah 2.0 dibuka untuk syarikat yang berdaftar dengan Perkeso hingga 31 Ogos lalu.

“Bagi permohonan baharu yang tidak pernah menerima bantuan bawah program Subsidi Upah, mereka akan layak menerima subsidi upah sehingga 6 bulan,” katanya.

Tiada ulasan: