Rabu, 23 September 2020

Kejayaan lalu tidak lekakan 69 Komando

 oleh ZAKI SALLEH

Pentomin yang menunjukkan perjuangan anggota PDRM dan 69 Komando.

Oktober ini genap 51 tahun usia penubuhan pasukan 69 Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM). Sebagai unit elit PDRM, untuk masuk pasukan ini bukanlah mudah kerana selain kelasakan fizikal, calon juga mesti memiliki ketahanan mental yang tinggi untuk bergelar anggota komando.

69 Komando yang berpangkalan di Kem Ulu Kinta, Perak melalui pelbagai jerih-perih khususnya semasa memerangi pengganas komunis dekad 1970-an sehinggalah peletakan senjata Parti Komunis Malaya (PKM) pada 1989.

Semasa awal penubuhannya pada Oktober 1969, kira-kira 60 orang daripada ribuan pegawai dan anggota Pasukan Polis Hutan (kini Pasukan Gerakan Am) terpilih pada sesi pemilihan awal.

Mereka ini kemudian menjalani latihan asas komando yang dikendalikan oleh jurulatih unit komando tentera British, Special Air Service Regiment (SAS) di Fort Kemar, Gerik, Perak. Pada akhir latihan, hanya 30 orang diambil menganggotai trup nukleus 69 Komando.

Komander 69 Komando, Senior Asisten Komisioner Abdul Razak Mohd. Yusoff semasa ditemui di markas pasukan itu di Ulu Kinta, Perak baru-baru ini memberitahu, disebabkan norma baharu kerana pandemik Covid-19, maka sambutan ulang tahun kali ini akan dilakukan mengikut peraturan yang ditetapkan.

Katanya, tahun lalu 69 Komando meraikan Sambutan Jubli Emas dalam suasana meriah bertujuan mengiktiraf dan menghargai jasa para pejuang terdahulu pasukan tersebut.

“Angka 50 menunjukkan kematangan 69 Komando sebagai pasukan khas dalam PDRM dengan keupayaan dan kemampuan yang setanding dengan lain-lain unit komando di negara ini.

“Sebab itu, acara-acara yang diadakan semasa menyambut usia 50 ini adalah bercorak menyemarakkan semangat persahabatan atau comradeship dalam kalangan anggota 69 Komando, veteran dan juga rakan-rakan pasukan khas lain,” ujarnya.

Antaranya aktiviti yang dianjurkan adalah berbasikal Comradeship Ride, No Man Left Behind dari Johor Bahru ke Markas Briged Utara, Ulu Kinta Perak.

Tujuannya untuk mengenang jasa veteran 69 Komando dan pasukan khas lain di negara ini di samping menghulurkan bantuan kepada pesara, balu mahu pun anak yatim tinggalan truper-truper pasukan khas yang terkorban.

Selain itu, program tersebut bertujuan memperkenalkan kepada masyarakat mengenai pasukan khas dan kempen mencari rekrut baharu 69 Komando.

Kemuncaknya ialah upacara perbarisan sambutan Jubli Emas 69 Komando yang dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Lebih bersejarah dan mengusik perasaan, tiga waris kepada wira negara yang terkorban dalam insiden di Lahad Datu, Sabah, Allahyarham Asisten Superintendan Zulkifli Mamat terlibat dalam perbarisan tersebut.

“Tiga anak Allahyarham iaitu Noor Akmar Amiruddin Zulkifli, Noor Mohd. Aqil dan Noor Aqib Syahid tampil berpakaian celoreng 69 Komando membawa beg berisi sand berret untuk diserahkan kepada Abdul Hamid.

“Terpapar wajah gembira dan bangga ketiga-tiga kanak-kanak itu apabila berpeluang mewakili arwah bapa mereka yang pergorbanannya sentiasa dikenang,” kata Abdul Razak.

Anjur kejohanan payung terjun

Salah satu formasi oleh penerjun 69 Komando dalam satu kejohanan baru-baru ini.

Semangat persahabatan warga pasukan khas ditonjolkan apabila 69 Komando buat julung kali menganjurkan Kejohanan Payung Terjun Antarabangsa Perak 2019 di Padang Polo, Ipoh.

Ia juga mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi kejohanan payung terjun pertama diadakan di ibu negeri Perak ini lantas meletakkan Ipoh dalam peta penganjuran acara sukan ekstrem udara.

Sebanyak 13 pasukan mengambil bahagian dengan 98 peserta termasuk 47 penyertaan dari Indonesia, Australia serta Korea Selatan dan sembilan daripadanya merupakan penerjun wanita.

Antaranya Pasukan Khas Laut (Paskal), Pasukan Khas Udara (Paskau), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kelab Sukan Payung Terjun Kenyalang dan peserta individu.

Penyertaan luar pula seperti Polis Indonesia (Polri) dan Komando Pasukan Khusus (Kopassus) yang mendominasi beberapa kategori antaranya formation skydive, dead centered award juga accuracy sport kategori wanita.

Komander 69 Komando, Senior Asisten Komisioner Abdul Razak Mohd. Yusoff berkata, 69 Komando pula menepati ramalan muncul juara bagi kategori accuracy sport dan canopy formation serta tempat ketiga bagi formation skydive.

“Biarpun selaku penganjur dan tuan rumah, persaingan pasukan lain memang hebat. Tambahan pula kejohanan payung terjun adalah acara yang kerap mereka sertai termasuk di luar negara.

“Secara teori kejohanan ini sudah cukup mencapai tahap antarabangsa, semua aturan terutama aspek keselamatan diberi penekanan yang baik.

“Kami sangat berpuas hati dan sudah pasti bersedia untuk menganjurkan kejohanan sama pada masa akan datang.

“Begitu juga sokongan kuat yang diberikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador untuk menjayakan kejohanan kali pertama ini amat-amat kami hargai,” kata Abdul Razak.

Memasuki usia 51 tahun, Abdul Razak tidak mahu warga pasukan itu menongkat langit kerana tiada istilah unit yang terbaik dalam lapangan sebagai komando.

Tiada ulasan: