Selasa, 29 September 2020

PM mahu graduan rebut peluang pohon PENJANA KPT-CAP

MGF280920_PELANCARAN-PERUNTUKAN-PELAN-JANA-SEMULA-EKONOMI-7-681x454
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Majlis Pelancaran Peruntukan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) KPT di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK

BANGI – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru graduan yang tamat pengajian tahun 2019 dan tahun ini atau masih menganggur agar segera memohon program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) Kementerian Pengajian Tinggi-Career Advancement Programme (KPT-CAP) bagi mendapatkan pekerjaan.

Ini kerana beliau berkata, program itu sudah boleh dipohon selepas dilancarkan hari ini dan mereka wajar memanfaatkan peluang untuk menambah kemahiran serta nilai kompetensi seterusnya membantu meningkatkan kebolehpasaran diri masing-masing.

“Tidak seperti program peningkatan kemahiran yang biasa dilaksanakan, Program PENJANA KPT CAP yang julung-julung kali ini diperkenalkan adalah unik oleh kerana para graduan dipastikan akan memperoleh pekerjaan setelah mereka menamatkan dengan jayanya kursus-kursus yang ditetapkan.

“Kursus-kursus ini sebenarnya direka bentuk mengikut kehendak dan keperluan yang ditetapkan oleh syarikat-syarikat yang bakal mengambil graduan tersebut sebagai pekerja mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran PENJANA KPT-CAP di Univerisiti Kebangsaan Malaysia hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Noraini Ahmad; Menteri Kanan (Kerja Raya), Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan.

Muhyiddin turut memberikan contoh kursus smart trucker yang kandungan pengajarannya direka bentuk berdasarkan kemahiran-yang diperlukan oleh syarikat logistik yang mengeluarkan Letter of Commitment (LOC) kepada KPT.

Justeru, beliau berkata, selepas habis tempoh kursus, graduan berkenaan akan ditawarkan untuk bekerja dengan syarikat logistik tersebut.

Muhyiddin berkata, pada masa ini, KPT sedang giat membangunkan Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2021-2025 bagi memastikan kesinambungan pemerkasaan agenda keusahawanan di IPT melalui Pelan Tindakan yang akan tamat pada tahun ini.

Beliau turut berharap pelan tindakan yang akan dihasilkan itu berupaya memartabatkan agenda keusahawanan di IPT secara lebih menyeluruh melalui pengukuhan ekosistem keusahawanan yang lengkap.

“Keusahawanan perlu dilihat sebagai salah satu cabang kerjaya berpotensi besar yang boleh diteroka oleh pelajar dan graduan.

“Bidang keusahawanan bukan sahaja menawarkan penjanaan pendapatan kepada pengusahanya tetapi sebagai job creator iaitu berupaya mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada orang lain melalui perniagaan yang dijalankan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: