Jumaat, 25 September 2020

Anwar perlu tunjuk bukti ada sokongan majoriti - Tun Mahathir

Astro Awani
Anwar perlu tunjuk bukti ada sokongan majoriti - Tun Mahathir
Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, tindakan Anwar bukan sahaja memberi kesan dalam kestabilan ekonomi negara malah turut akan menjejaskan imej Malaysia. - Gambar fail/Astro AWANI
 
LANGKAWI: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menunjukkan bukti bahawa beliau memperoleh sokongan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat sebelum membuat sebarang kenyataan mengenai penubuhan sebuah kerajaan baharu.
 
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, tindakan Anwar bukan sahaja memberi kesan dalam kestabilan ekonomi negara malah turut akan menjejaskan imej Malaysia.
 
Tambah Ahli Parlimen Langkawi itu, situasi yang berlaku ketika ini amatlah membelakangkan keputusan yang dibuat rakyat terutama melalui tindakan "membeli" wakil rakyat untuk menyokong pemimpin tertentu dengan begitu mudah.
 
"Jadi (tindakan) ini tidak baik, tetapi kita juga terima hakikat bahawa orang yang ada majoriti boleh dapat (mentadbir negara), tapi ini belum ditunjuk, cuma dakwa ada majoriti yang banyak. Sekarang kita dapati ada yang menafi (terutama dari pemimpin UMNO), jadi keadaan tidak menentu,
 
"Kalau Datuk Seri Anwar ada (majoriti), buktikan bahawa dia betul cukup bilang dan kita akan putuskan perkara itu.
 
"Tetapi bila kita sebut sesuatu dengan tidak beri penjelasan kononnya dapat majoriti, maka ini akan timbul (kekeliruan), (dan) sebabkan keadaan tidak stabil dalam negara dan dia menjadi kesan dalam pelaburan dan sebagainya," katanya.
 
Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan dirinya dan beberapa Ahli Parlimen yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak akan bekerjasama dengan sebarang pelan penubuhan kerajaan baharu yang akan dipimpin oleh Anwar.
 
Jelasnya, ia susulan pemimpin PKR terbabit di dalam sidang media yang dibuat pada Rabu, didakwa telah menolak penglibatan Pejuang ke dalam gabungan baharu berkenaan.
 
"Parti Pejuang dia (Anwar) tolak, dia kata, dia buat (sidang media) semua orang sokong dia, melainkan Dr Mahathir.
 
"Jadi saya terus tak boleh (bekerjasama) dengan dia, jadi nak sokong macam mana dia tolak kita awal-awal lagi," ujarnya.
 
Dr Mahathir berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program Sembang Santai bersama penggerak pelancongan dan pengusaha hotel di Kuah, Langkawi pada Jumaat.
 
Anwar dalam satu sidang media tergempar di Kuala Lumpur pada Rabu, menegaskan pada saat ini kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh.
 
Presiden PKR itu turut mendakwa beliau mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baru dalam masa terdekat.

Tiada ulasan: