Bagan Datuk: Dua bot pukat tunda tempatan kelas B1 bersama enam kru warga Myanmar ditahan Jabatan Perikanan Perak dalam operasi di dua lokasi berasingan di perairan Pulau Lalang, di sini, semalam.
Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut merampas lebih 200 kilogram pelbagai jenis ikan dengan keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai RM1 juta.
Ketua Pangkalan Utama Cawangan Perlindungan Sumber (CPS) Kampung Acheh, Mansor Yobe berkata, dua bot berkenaan ditahan kerana menggunakan nelayan asing tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
Menurutnya, selain itu, mereka turut dikesan menggunakan saiz mata pukat kurang 38 milimeter (mm).
"Bot pertama ditahan di kedudukan 0.7 batu nautika Pulau Lalang, Bagan Datuk pada 8.40 pagi dan menggunakan tiga kru warga Myanmar.
"Bot kedua bersama tiga nelayan warga Myanmar pula ditahan 20 minit kemudian di 1.1 batu nautika lokasi sama, selain menggunakan kod zon tidak mengikuti spesifikasi ditetapkan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, kedua-dua bot bersama enam warga asing berusia antara 40 hingga 50 tahun itu dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh, Sitiawan untuk tindakan lanjut.
"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan