Jumaat, 25 September 2020

Mungkin ada orang tekan Zahid, kata Hamzah

Malaysiakini

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin berkata dia enggan membuat sebarang spekluasi berhubung kenyataan media Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, selepas Anwar Ibrahim mengumumkan sudah mendapat sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baru.

Kata Hamzah ada beberapa kemungkinan yang mendorong Ahmad Zahid membuat kenyataan sebegitu.

"Kenyataan dia boleh jadi tricky (berlapis) kerana mungkin ada seorang dua yang tekan dia untuk beritahu mereka bersama Anwar... kita tak tahu," katanya ketika ditemui media di Kota Kinabalu hari ini.

Hamzah yang juga ahli parlimen Larut menambah jumlah sokongan yang ada pada presiden PKR itu juga tidak diketahui. Namun yang paling penting, katanya orang yang ada dalam senarai tular sekarang sudah membuat penafian.

"Yang tidak membuat penafian... mungkin, saya tak tahu," katanya lagi.

Kelmarin Anwar mengumumkan dia mendapat sokongan majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baru selepas Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan melalui 'Langkah Sheraton' akhir Feb lalu.

Tidak lama kemudian Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan memberitahu dia dimaklumkan ada beberapa ahli parlimen memang menyokong Anwar dan Umno tidak dapat menghalang mereka.

Ada pemimpin Umno, BN berceramah

Kenyataan itu sekali gus menimbulkan tanda tanya terhadap kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri kerana umum mengetahui sokongan yang diterimanya sebelum ini memang sangat tipis.

Setakat ini Anwar atau Ahmad Zahid tidak menyebut sebarang nama.

Sementara itu Hamzah menggesa orang ramai agar tidak mempersoalkan ketiadaan Ahmad Zahid berkempen untuk BN dan Perikatan Nasional (PN) di Sabah semalam sehingga menjadi spekluasi.

Kata menteri dalam negeri itu, Ahmad Zahid sedang menjalani kuarantin kendiri ekoran Covid-19.

"Annuar Musa (setiausaha agung BN) juga salah seorang (yang menjalani kuarantin)," katanya.

Menurut Hamzah dia melihat langkah melakukan kuarantin kendiri itu sesuatu yang positif kerana mereka memang sayangkan rakan-rakan yang lain.

Untuk rekod Ahmad Zahid sepatutnya hadir berkempen di Sook, Tenom dan Kota Kinabalu semalam.

Menurut Hamzah lagi jika Ahmad Zahid kini tidak lagi menyokong kerajaan PN, sudah tentu dia tidak akan membenarkan pemimpin Umno yang lain - seperti naib presidennya, Mahdzir Khalid - hadir dalam ceramah tersebut.

Katanya, sebagai pengerusi BN Ahmad Zahid masih memberi kebenaran kepada pemimpin lain berucap dalam kempen di Sabah.

"Itu menunjukkan mereka masih bersatu," katanya.

Tiada ulasan: