Jumaat, 25 September 2020

Yusmadi tidak setuju AMK adu Shamrahayu kepada polis

MALAYSIAKINI

 Malaysiakini

Senator PRK Yusmadi Yusoff tidak bersetuju dengan tindakan pemuda PKR (AMK) membuat laporan polis terhadap ahli akademik yang juga pakar perlembagaan Prof Dr Shamrahayu Ab Aziz berhubung pandangannya mengenai krisis politik negara ketika ini.

Beliau berkata, perbezaan pandangan boleh dibuat oleh mana-mana individu apatah lagi membabitkan ahli akademik.

"Saya tidak bersetuju dengan tindakkan ini. Perbezaan pandangan boleh dibuat oleh mana-mana individu apatah lagi seorang ahli akademik.

"Biar rakyat dan terutama sekali mereka daripada dunia akademik menilai pandangan tersebut," ciap beliau di Twitternya, hari ini.

Terdahulu AMK membuat laporan polis Shamrahayu berhubung kenyataannya bahawa hanya perdana menteri yang layak menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Naib Ketua Pemuda AMK S Thiban ketika dihubungi Malaysiakini berkata, kenyataan Shamrahayu memperlekehkan peranan Yang di-Pertuan Agong.

"Saya mendapati kenyataan profesor itu bahawa hanya PM layak menghadap Agong itu jelas memperlekeh dan memperkecilkan peranan Yang di-Pertuan Agong yang sebelum ini menerima majlis untuk menghadap Presiden PKR Anwar Ibrahim.

"Kenyataan profesor memberi gambaran seolah-olah majlis terima menghadap Anwar sebagai tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Shamrahayu dilaporkan berpendapat hanya perdana menteri layak menghadap Agong bagi menyatakan kedudukan semasa sama ada masih mempunyai kepercayaan majoriti atau sebaliknya.

Kenyataan Shamrahayu itu juga turut disanggah seorang lagi pakar perlembagaan Dr Aziz Bari yang menyifatkannya sebagai satu kekeliruan

Tiada ulasan: