Ahad, 27 September 2020

Covid-19: 1 mati, 150 kes baharu hari ini

PETALING JAYA: Satu kematian akibat Covid-19 dicatatkan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 134 kes dengan jangkitan baharu terus meningkat kepada 150 hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu hari ini, 146 adalah penularan tempatan manakala 4 lagi kes import.

“Jumlah individu yang didiscaj adalah 50 orang, manakala jumlah kes di unit rawatan rapi (ICU) seramai 6 orang dan 4 memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Beliau berkata, bagi 4 kes yang mendapat jangkitan di luar negara, 3 merupakan kes mendapat jangkitan dari Arab Saudi, manakala 1 lagi mendapat jangkitan dari India.

Katanya, daripada 146 kes penularan dalam negara, 124 kes adalah warganegara dan 22 bukan warganegara. Di Sabah sahaja terdapat 124 kes direkodkan semalam.

“Sebanyak 58 kes daripada kluster Benteng LD, 20 kes kluster Bangau-Bangau, 13 kluster Bakau, 10 kes daripada kluster Pulau, 8 daripada kluster Kampung Sakong, 8 saringan bergejala yang melibatkan warganegara.

“Manakala, 3 kes daripada kluster baharu iaitu Buang Sayang, 1 kes saringan komuniti, 1 kes ‘Influenza-like Illness’, 1 kes saringan kontak rapat kepada kes ke-10,359 dan 1 saringan sebelum pulang ke Sarawak,” katanya.

Mengulas mengenai kematian ke-134, mangsa merupakan perempuan warga Malaysia berumur 81 tahun, kes mula mengalami gejala demam dan batuk berkahak pada 14 September dan dibawa ke Hospital Semporna pada 17 September.

“Saringan Covid-19 didapati positif pada 22 September. Pada 26 September kes sudah dipindahkan ke Hospital Tawau. Keadaan kes didapati merosot dan dipindahkan ke ICU pada hari sama.

“Beliau disahkan meninggal dunia pada 27 September jam 12.52 pagi. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga beliau,” katanya.

Tiada ulasan: