KOTA KINABALU - Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin kini dalam usaha menambah baik jalan raya dan memberi bekalan air bersih kepada seluruh rakyat di negeri ini.
Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri I mahu menyusun semula program dan juga bajet untuk Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) memandangkan kemudahan infrastruktur dan bekalan air menjadi masalah sejak dulu lagi bagi rakyat Sabah.
"Misi utama saya dalam kementerian ini untuk memastikan jalan raya di Sabah dapat diperbaiki dan menyalurkan bekalan air bersih kepada rakyat.
"Selama kempen pilihan raya bertahun-tahun lalu, saya mendapat maklumat dan salah satu aku janji atau manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah memberi bekalan air bersih kepada rakyat Sabah," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas mendengar taklimat berkaitan kementerian di bangunan Kementerian Infrastruktur Jabatan Kerja Raya, Sembulan di sini hari ini.
Kata Bung Moktar lagi, pihaknya berharap masalah bekalan air bersih di daerah terlibat dapat diselesaikan dan seterusnya dinikmati oleh rakyat Sabah.
"Rakyat berhak untuk menerima sepatutnya, tugas saya dan semua agensi di sini adalah memastikan rakyat mendapat hak mereka iaitu air bersih dan jalan raya yang baik," katanya.
Ketika diminta mengulas lanjut berhubung perkembangan pembinaan Pan Borneo, beliau berkata, ia termasuk dalam keutamaannya dalam menerajui kementerian itu.
"Itu termasuk (Pan Borneo). Kita ketinggalan, Pan Borneo di Sarawak sudah mencapai 50 peratus, Sabah baru 18 hingga 20 peratus. Jadi nampak tidak masuk akal sedangkan kita bergerak bersama-sama, tetapi kita ketinggalan.
"Kenapa Sarawak boleh, Sabah tidak boleh. Jadi saya akan perincikan perkara ini secara spesifik untuk memastikan Pan Borneo pun perlu bergerak pantas untuk memastikan rakyat menikmati jalan raya yang lebih baik seperti negeri lain," katanya.
Terdahulu, Bung Moktar memulakan tugas rasminya di kementerian sebagai Menteri Kerja Raya selepas dilantik menjawat jawatan itu oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor semalam.
Hadir sama, Timbalan
Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya, Helena Masry dan Pengarah
Jabatan Kerja Raya, Datuk Ir Richard Jomiji Kinsil. #Sumber : SH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan